fbpx

“Abang Anak Paling Baik, Dia Yang Ibu Sayang Sehingga Akhir Hayat”

Penyanyi Aufahanie berkata dia hilang kata-kata sebaik mendapat khabar berita penemuan mayat abangnya, Allahyarham Nidza Afham yang ditemui berhampiran jambatan Sungai Klang, Klang lewat petang semalam.

Memetik HibGlam, Aufa berkata mayat abangnya ditemui oleh orang awam. Katanya lagi, sejak abangnya tidak pulang dia tidak tidur serta mendedahkan hubungan dengan Allahyarham sangat rapat.

“Sudah habis air mata nak menangis. Saya memang sangat rapat dengan dia. Sejak semalam lagi saya tak tidur, makan pun belum. Dalam tujuh beradik, saya nombor enam dan dia anak kelima. Kami berdua memang kawan baik,” katanya.

Menurut Aufa lagi, Allahyarham juga tidak menunjukkan sebarang tanda  pelik sebelum meninggal dunia serta menyifatkan abangnya anak yang paling baik.

“Selepas ibu bapa berpisah, abang tinggal dengan ibu dan dialah yang menjaga ibu sehingga akhir hayat. Dalam tujuh beradik dialah yang paling baik.

“Tidak nampak sebarang tanda dia akan pergi buat selamanya. Keluarga akan berbincang sama ada untuk meneruskan bedah siasatan sekiranya ada unsur jenayah. Kasihan kepada arwah kalau lalui proses bedah siasat,” katanya.

Lewat petang semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat seorang lelaki ditemui sekitar Jambatan Sungai Klang adalah Nidza Afham yang dilaporkan hilang selepas berjoging di Stadium Sultan Sulaiman.

SUMBER: HibGlam