“Saya Berhijab Kerana Allah, Bukan Sebab Boyfriend”

Walaupun kini kurang membintangi drama di kaca televisyen, tapi sebenarnya Sherry Ibrahim masih sibuk dengan jadual hariannya, lebih-lebih lagi dengan produk kosmetiknya sendiri iaitu Deeja Cosmetics.

Tahun 2016, pelakon cantik ini membuat keputusan untuk berhijab sepenuhnya pada hari lahirnya yang ke-33. Menurut Sherry, hatinya terbuka secara tiba-tiba untuk berhijab.

Ada yang mengatakan Sherry berhijab kerana orang lain dan orang lain yang dimaksudkan itu seseorang yang istimewa.

“Mungkin itulah yang dikatakan hidayah. Sesungguhnya, Sherry berhijab kerana Allah SWT,untuk diri sendiri dan sudah tentunya juga Sherry lakukannya demi ibu bapa Sherry.

“Merekalah yang mendorong Sherry untuk memilih jalan ini selain ahli keluarga yang lain dan kawan-kawan rapat Sherry. Dalam masa yang cukup singkat Dia permudahkan segala urusan.”

Tambah Sherry, di awal penghijrahannya, dia mengaku agak kekok untuk mengenakan tudung ketika keluar rumah dan perlukan masa untuk sesuaikan diri.

“Awalnya, Sherry akui agak kekok juga dan mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk sesuaikan diri dengan keadaan apabila berada di luar. Maklumlah, kalau dulu atas kepala tidak bertutup, tetapi kini dilitupi tudung.

“Alhamdulillah, seperti yang Sherry katakan tadi, Allah permudahkan segala urusan dan hingga kini Sherry rasa lebih selesa dan selamat dengan berhijab. Begitulah, perkara baik Allah pasti permudahkan,” ujarnya kepada Intrend.

Sumber: Intrend

×