Penyanyi Adira AF yang kini telah pun bergelar seorang isteri memberitahu dia tidak mempunyai sebarang penjelasan mengenai khabar angin yang mengatakan bahawa dirinya sedang hamil.
BACA: Adira AF Kini Hamil?
“It’s complicated (Ia rumit). Seperti sebelum ini saya tetap dengan pendirian untuk tidak mengulas mengenai perkara itu. Harap peminat dapat doakan yang baik-baik untuk saya,” memetik kata-katanya kepada mStar Online baru-baru ini.
Bagaimanapun, dalam perkembangan lain, Adira juga mengakui kehidupannya kini semakin ceria dan tenang selepas berumah tangga selain mengakui menjadi seorang isteri bukanlah perkara yang mudah.
“Alhamdulillah keadaan semakin baik. Kehidupan saya makin tenang. Menjadi seorang isteri bukan senang. Mungkin di peringkat umur saya sudah banyak, cumanya agak terkejut sedikit jodoh cepat,” katanya yang ditemui di Majlis Pengumuman Finalis Anugerah Bintang Popular BH 29 (ABPBH 29).
Adira turut menjelaskan suaminya tidak pernah mengongkong akan kerjaya seninya dan sentiasa menyokong apa sahaja perkembangan kerjaya yang dilakukannya.
“Suami saya sangat memberikan sokongan dan tidak pernah mengongkong. Kalau pasal kerja dia ‘on’ saja,” kata Adira.
Mengenai kehidupan bermadu, Adira sebelum ini telah mendapat perhatian pelbagai pihak, ada yang mengecamnya malah ada juga yang menyokongnya. Bagi penyanyi ini, hidup bermadu tidak ada masalah sekiranya mempunyai komunikasi yang baik bagi kedua-dua belah pihak.
“Nasib berbeza-beza atau situasi yang berlainan. Saya mungkin ada yang bagus atau sebaliknya. Kalau ambil perkara ini sebagai positif Insya Allah akan baik. Begitu juga dengan komunikasi yang baik dalam hubungan. Setakat ini alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar,” katanya. (rtky/h)