Pelakon dan pengacara Didie Alias berkata hubungannya dengan sahabatnya Amyza Aznan kini tidak seperti dulu apabila sudah hampir tiga bulan tidak lagi berhubung.
Memetik mStar Online, Didie mengakui sedih serta mendedahkan timbul perselisihan faham apabila pertolongannya dianggap terlalu menjaga hal Amyza.
BACA: Suami Masih Di CCU, Anak Amyza Aznan Terlantar Di Rumah
“Saya agak kecewa, tetapi tidak mengapa. Mungkin dia ada jawapannya sendiri dan saya rasa biarlah dia yang menjawab mengenai apa yang sedang berlaku sekarang.
“Saya sedih sebab kami sudah macam darah daging. Jadi, apabila kita bercakap dan kita beri nasihat, tapi kita pula dikatakan macam terlalu sibuk mengambil tahu hal orang, mungkin ada yang membenci saya.
“Saya dah buat sehabis baik dan cuba membantu yang termampu. Keputusan di tangan dia. Jadi, saya terpaksa tarik ‘handbrake’, maksudnya urusan berkaitan anak, suami dan keluarganya, biarlah dia uruskan sendiri. Saya tidak mahu ambil tahu lagi,” katanya.
Sementara itu, Didie enggan mengulas lanjut mengenai punca perselisihan faham, serta berpendapat Amyza merupakan individu yang mempunyai jawapan berkenaan.
“Bagi perkara berkaitan dia, rasanya lebih baik dia jawab sendirilah dengan rakan media. Kalau tanya saya pun, jawapan ada pada dia bukan pada saya. Dia yang lebih tahu,” katanya.
Sumber: mStar Online