Kenapa Jabatan Peguam Negara (AGC) tiba-tiba mahu menangguhkan pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak, sedangkan Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenankan pengampunan bersyarat sejak 18 September lalu?

Itu antara persoalan yang timbul selepas Najib masih berada di Penjara Kajang walaupun denda RM50 juta sudah dijelaskan pada Jumaat lalu.

Lebih-lebih lagi apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah bahawa perintah pengampunan bersyarat berkenaan adalah jelas dan perlu dilaksanakan sebagaimana diputuskan.

Namun, untuk memahami apa sebenarnya berlaku, kita perlu melihat satu lagi perkembangan penting pada 6 November, iaitu pengeluaran Order of Discharge on Payment of Fine oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas denda Najib dibayar.

Perintah mahkamah itu berbeza daripada Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Agong pada 18 September lalu.

Dalam dokumen bertarikh 6 November itu, terdapat istilah “discharge forthwith” yang membawa maksud Najib perlu dilepaskan serta-merta daripada Penjara Kajang, namun dokumen sama turut menyatakan beliau perlu menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Penggunaan istilah itu menimbulkan persoalan sama ada Najib hanya dilepaskan daripada Penjara Kajang untuk menjalani tahanan rumah atau hukuman SRC International dianggap sudah tamat, termasuk sama ada istilah transfer yang bermaksud pemindahan lebih sesuai digunakan, walaupun kesan sebenar perintah itu perlu dilihat secara keseluruhan.

Perbezaan itu penting kerana Najib turut dijatuhi hukuman penjara dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diperintahkan bermula selepas hukuman SRC selesai.

Secara mudahnya, jika hukuman SRC masih berjalan, Najib boleh menjalani baki hukuman itu di rumah seperti diperkenankan Agong, tetapi jika hukuman tersebut dianggap tamat, hukuman 1MDB pula boleh mula dilaksanakan dan Najib mungkin perlu terus berada di penjara, tertakluk kepada keputusan mahkamah.

Perkara inilah yang dijelaskan AGC dalam kenyataannya pada 6 November dan penjelasan lanjut sehari kemudian, termasuk persoalan tafsiran syarat pengampunan serta kesan sebenar perintah pelepasan terhadap hukuman SRC dan 1MDB.

Malah, perintah mahkamah yang menimbulkan persoalan itu hanya dikeluarkan pada 6 November, hari yang sama AGC mengumumkan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan rumah Najib, walaupun tidak dapat dipastikan bila sebenarnya AGC mula meneliti masalah berkenaan.

Pada masa sama, timbul persoalan sama ada peguam Najib sepatutnya memohon perintah yang lebih khusus bagi mengelakkan kekeliruan, namun penggunaan istilah discharge forthwith sahaja belum membuktikan berlaku kesilapan di pihak peguam.

Bagaimanapun, kritikan terhadap AGC juga tidak boleh diketepikan, khususnya persoalan sama ada pelaksanaan perintah mahkamah boleh ditangguhkan tanpa mendapatkan perintah lanjut daripada mahkamah sendiri.

Pun begitu, pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong bukan perkara yang sedang dipohon untuk dibatalkan oleh AGC, sebaliknya persoalan tertumpu kepada cara perintah berkenaan dilaksanakan dan kesannya terhadap hukuman lain.

Penjelasan mengenai perkara ini penting kerana ia bukan sahaja membabitkan Najib, tetapi berpotensi menjadi rujukan atau duluan undang-undang bagi pelaksanaan tahanan rumah pada masa depan.

×