Seramai 213 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana disyaki menjadi keldai dadah dalam tempoh 2024 hingga September lalu, ketika sindiket pengedaran dadah semakin licik menggunakan pelbagai helah untuk memperdaya mangsa.

Lebih membimbangkan, golongan muda termasuk pelajar dan graduan institusi pengajian tinggi turut menjadi sasaran sindiket yang menggunakan tawaran pekerjaan bergaji lumayan, pakej percutian dan imbuhan kewangan sebagai umpan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata sindiket turut menawarkan tiket penerbangan dan penginapan bagi menarik individu terbabit membawa dadah merentasi sempadan negara.

Menurutnya, di sebalik tawaran yang kelihatan menguntungkan itu, individu terbabit sebenarnya berdepan risiko keselamatan sangat serius apabila dipergunakan sebagai keldai dadah.

“Sindiket ini turut memanfaatkan media sosial, platform e-dagang dan aplikasi komunikasi untuk mempromosi, mendapatkan pelanggan serta menjalankan urus niaga jual beli dadah.

“Antara modus operandi dikenal pasti termasuk penggunaan akaun palsu, kumpulan tertutup, komunikasi sementara, pembayaran tanpa tunai dan e-dompet, selain penghantaran melalui perkhidmatan kurier menggunakan kaedah bayaran tunai ketika pesanan dihantar (COD) dan lokasi serahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai langkah kerajaan menangani sindiket pengedaran dadah yang menyasarkan golongan muda dan graduan universiti, selain penyalahgunaan platform e-dagang bagi penjualan dadah di Dewan Rakyat, hari ini.

Shamsul Anuar berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan risikan dan penguatkuasaan siber secara berterusan bagi membanteras kegiatan sindiket berkenaan.

Katanya, operasi pemantauan dan siasatan dilaksanakan 24 jam sehari dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), penyedia platform digital serta syarikat kurier.

“Hasilnya, 87 akaun disekat pada 2025 manakala 49 akaun lagi disekat sepanjang tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha melumpuhkan keseluruhan rangkaian sindiket, termasuk menyekat sumber kewangan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah.

“Kerajaan juga memfokus kepada usaha melumpuhkan keseluruhan rangkaian, keupayaan kewangan sindiket dengan kerjasama institusi kewangan, penyedia platform dan syarikat kurier bagi mengesan dan menyekat aliran pembayaran dan penghantaran serta melaksanakan pendekatan ‘follow the money’.

“Selain itu, kerajaan turut memperkukuh usaha pencegahan melalui pendidikan, kesedaran dan mobilisasi komuniti, khususnya dalam kalangan golongan muda bagi mengelakkan mereka terpedaya dengan tawaran sindiket,” katanya.

GAMBAR HIASAN: JANAAN AI

×