Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd dengan usahasama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) memperkukuh komitmen dalam memperkasakan keterangkuman golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi inisiatif #WeThe15: Inclusive Together, satu usaha memperjuangkan kesaksamaan peluang, mengiktiraf keupayaan golongan OKU, serta menggalakkan penyertaan dalam masyarakat.

Inisiatif ini selaras dengan pelaksanaan program Sahabat Istimewa IWK, iaitu salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah naungan IWK Cares yang bertujuan memperkasakan komuniti OKU, memupuk keterangkuman serta membuka lebih banyak peluang kepada golongan ini untuk melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai aspek kehidupan bermasyarakat.
Menerusi usahasama ini, IWK dan MPM berhasrat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keterangkuman golongan OKU, memecah stereotaip serta menyerlahkan bakat, pencapaian dan sumbangan golongan OKU. Inisiatif ini mencerminkan komitmen bersama untuk membentuk masyarakat yang inklusif, di mana setiap individu dihargai, dihormati dan diberikan peluang saksama untuk mengambil bahagian, menyerlahkan potensi serta berjaya dalam kehidupan.
“Menerusi program Sahabat Istimewa IWK dan kerjasama dengan MPM, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran serta membuka lebih banyak peluang bermakna kepada golongan OKU untuk melibatkan diri dalam masyarakat. Keterangkuman bukan sekadar meningkatkan kesedaran, tetapi juga memastikan setiap individu diiktiraf, dihargai dan diberikan peluang untuk menyumbang dan mengembangkan potensi diri,” kata Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Datuk Ir. Narendran Maniam.

Menjelang Malaysia akan menganjurkan Sukan Para ASEAN 2027, kerjasama ini turut bertujuan meningkatkan minat masyarakat terhadap sukan para, meraikan pencapaian atlet para serta menggalakkan komuniti memainkan peranan yang lebih aktif dalam memperkukuh keterangkuman dan kebolehcapaian bagi golongan OKU.
“Sukan merupakan wadah ampuh untuk mengetengahkan kebolehan dan pencapaian golongan OKU. Menjelang penganjuran Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2027, program #WeThe15: Inclusive Together dapat meningkatkan kesedaran masyarakat serta memupuk sebuah Masyarakat yang lebih inklusif. Kami memuji langkah IWK dalam menyokong inisiatif ini, sekali gus membuktikan peranan tanggungjawab korporat dalam memperkukuh keterangkuman golongan OKU serta membuka lebih banyak peluang kepada golongan ini,” kata Presiden MPM, Dato’ Sri Megat D. Shahriman bin Dato’ Zaharudin.
IWK dan MPM telah memeterai usahasama promosi ini melalui satu kolaborasi tanpa ikatan perundangan bagi mempromosi Kempen WeThe15. Kerjasama ini menandakan satu langkah ke arah memperkukuh usahasama dalam meningkatkan keterangkuman golongan OKU serta meraih sokongan masyarakat terhadap sukan para.
Majlis ini turut menampilkan demonstrasi sukan dan aktiviti penglibatan komuniti yang menghimpunkan pihak berkepentingan serta masyarakat umum untuk merasai sendiri kepentingan keterangkuman menerusi aktiviti sukan dan penyertaan bersama.

WeThe15 merupakan gerakan global yang mewakili kira-kira 15% penduduk dunia yang terdiri daripada golongan OKU. Gerakan ini bertujuan menangani diskriminasi, menghapuskan halangan serta memperjuangkan hak dan peluang yang sama rata bagi golongan OKU.
Menerusi #WeThe15: Inclusive Together, IWK dan MPM berharap dapat membawa mesej global ini lebih dekat kepada masyarakat umum dengan menggalakkan pemahaman,penerimaan serta penyertaan yang lebih bermakna oleh golongan OKU dalam kehidupan seharian.