AKPS Selamatkan RM322.74 Juta Hasil Negara, Lonjakan Empat Kali Ganda

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mencatat pencapaian memberangsangkan apabila berjaya menyelamatkan hasil negara bernilai RM322.74 juta daripada ketirisan setakat Oktober tahun ini, meningkat empat kali ganda berbanding tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kejayaan itu membuktikan keberkesanan penguatkuasaan AKPS meskipun agensi berkenaan masih beroperasi pada tahap kekuatan awal.

Menurutnya, pencapaian tersebut turut memperlihatkan peranan penting AKPS bukan sahaja dalam menjaga keselamatan sempadan, malah sebagai benteng fiskal negara bagi melindungi hasil kerajaan daripada aktiviti penyeludupan.

“Amanah besar AKPS adalah memastikan hasil negara terpelihara daripada sebarang bentuk ketirisan kerana aktiviti penyeludupan barangan berduti, komoditi terlarang, flora, fauna mahupun barangan bersubsidi merugikan rakyat dan negara secara langsung.

“Warga AKPS hendaklah melipatgandakan usaha penguatkuasaan secara tegas, teliti dan agresif bagi membanteras segala ketirisan di sempadan demi mengembalikan setiap sen hasil negara kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman, sempena Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-2 AKPS hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, penubuhan AKPS dua tahun lalu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghapuskan amalan kerja secara berasingan antara agensi penguatkuasaan sempadan.

Katanya, pendekatan bersepadu menerusi konsep Single Border Agency (SBA) membolehkan operasi keselamatan sempadan diselaraskan di bawah satu rantaian arahan dengan mengambil kira tahap ancaman serta kesiapsiagaan anggota dan logistik.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, AKPS turut diberikan tanggungjawab penting memperkukuh keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan insiden penahanan seorang juruterbang di Jakarta pada 28 Julai lalu.

Menurutnya, kerajaan meluluskan 17 syor penambahbaikan keselamatan KLIA pada 19 Ogos lalu, dengan AKPS dipertanggungjawabkan menerajui tiga langkah utama berkaitan keselamatan negara dan sempadan.

“Pertama, pelaksanaan saringan bersasar berasaskan risiko merangkumi prosedur pemeriksaan tambahan khusus terhadap penerbangan, penumpang, kru serta bagasi yang dikenal pasti berprofil risiko tinggi.

“Kedua, pengukuhan Unit Anjing Pengesan (K9) dengan mempertingkatkan keupayaan K9 sebagai pelengkap saringan bagi mengesan bahan terlarang yang sukar dikesan oleh mesin pengimbas biasa.

“Ketiga ialah penyelarasan risikan antara agensi di mana AKPS bertindak sebagai hab peneraju perkongsian maklumat risikan bersama agensi sahabat secara pantas dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkukuh keupayaan AKPS turut disokong pelaksanaan Skim Perkhidmatan Baharu AKPS sejak 1 Julai lalu serta latihan membabitkan 408 pegawai perintis Penguasa Sempadan dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Pada masa sama, Saifuddin Nasution mengingatkan seluruh warga AKPS supaya sentiasa memelihara integriti, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan meningkatkan disiplin ketika menjalankan tanggungjawab.

“KDN tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku atau rasuah yang mencemarkan panji keselamatan negara,” tegasnya

KREDIT GAMBAR: FACEBOOK AKPS

×