Steven Sim Umum Pelan SCALE 2027, Fokus Lima Reformasi Sektor PMKS

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkenalkan Pelan Tindakan SCALE 2027 yang menggariskan lima keutamaan strategik bagi menangani cabaran struktur yang sekian lama dihadapi sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong, berkata pelan tindakan baharu itu akan melengkapi Strategi ABCD sedia ada yang dilaksanakan kementeriannya bagi membantu PMKS meningkatkan produktiviti, daya saing dan beralih kepada aktiviti bernilai tambah lebih tinggi.

Beliau mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Forum CEO PMKS SAMENTA 2026, semalam.

“Strategi ABCD KUSKOP akan terus dilaksanakan bagi menangani cabaran segera yang dihadapi perniagaan.

“Pada masa yang sama, Pelan Tindakan SCALE akan melengkapi strategi tersebut dengan memberi tumpuan kepada reformasi struktur jangka panjang bagi membantu PMKS berkembang, meningkatkan daya saing dan beralih kepada aktiviti bernilai tambah lebih tinggi,” katanya.

Steven Sim sewaktu berucap dalam Forum CEO PMKS SAMENTA 2026.

Sementara itu, KUSKOP dalam satu kenyataan menjelaskan SCALE merupakan akronim kepada lima keutamaan strategik iaitu SME Redefinition (Penakrifan Semula PMKS), Cash Flow Protection (Perlindungan Aliran Tunai), AI for SMEs (AI untuk PMKS), Local Content Requirement (Keperluan Kandungan Tempatan) dan Easing SME Financing (Mempermudah Pembiayaan PMKS).

Kementerian itu berkata, menerusi komponen perlindungan aliran tunai, pihaknya akan meneliti langkah bagi melindungi PMKS daripada masalah pembayaran lewat dan penahanan bayaran berpanjangan yang boleh menjejaskan kedudukan kewangan perniagaan kecil.

“Langkah ini bertujuan memperkukuh kedudukan kewangan PMKS supaya perniagaan kecil tidak terus dibebani keadaan seolah-olah mereka terpaksa memberikan kredit tanpa faedah kepada syarikat-syarikat besar,” menurut kenyataan itu.

Bagi komponen penakrifan semula PMKS pula, KUSKOP memaklumkan pihaknya akan mengkaji semula takrif yang digunakan sejak 2013 supaya lebih mencerminkan landskap perniagaan semasa serta selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, dengan sasaran kajian diselesaikan menjelang 2027.

Dalam aspek teknologi, kementerian itu berkata, penerapan kecerdasan buatan (AI) akan diberi keutamaan bagi membantu PMKS meningkatkan pengeluaran dan produktiviti tanpa perlu bergantung semata-mata kepada waktu bekerja lebih panjang, sekali gus menyokong peralihan model pertumbuhan ekonomi daripada Made in Malaysia kepada Made by Malaysia.

Bagi memastikan PMKS tempatan mendapat manfaat lebih besar daripada pelaburan berskala besar termasuk pelaburan langsung asing (FDI), KUSKOP turut meneroka pelaksanaan keperluan kandungan tempatan dalam rantaian bekalan dan projek pelaburan.

“KUSKOP akan mempertimbangkan garis panduan yang bersesuaian dan, sekiranya perlu, langkah perundangan bagi meningkatkan penyertaan PMKS tempatan dalam rantaian bekalan dan projek pelaburan,” menurut kementerian itu.

Dalam usaha mempermudah pembiayaan pula, KUSKOP memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan kementerian berkaitan, institusi kewangan dan Bank Negara Malaysia bagi menangani peraturan yang tidak lagi relevan serta halangan yang menyukarkan PMKS mendapatkan pembiayaan, selain meneroka sumber pembiayaan alternatif.

Menurut kenyataan kementerian itu, berdasarkan pengiraan SME Corp. Malaysia, jumlah keseluruhan peruntukan dan sokongan untuk sektor PMKS di bawah Belanjawan 2027 adalah sebanyak RM67.9 bilion, merangkumi pembiayaan, jaminan pembiayaan, geran, latihan, sumber dan pelbagai program.

Daripada jumlah berkenaan, RM57 bilion disediakan melalui kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan, meningkat berbanding RM50 bilion pada 2026.

KUSKOP turut memaklumkan sebanyak RM10.5 bilion telah disalurkan kepada kira-kira 295,000 usahawan dan PMKS di seluruh negara setakat 30 September lalu, berbanding sasaran RM15 bilion bagi tahun ini.

×