Semua penjawat awam diarah menghentikan penggunaan aplikasi navigasi Waze yang berpangkalan di Israel berkuat kuasa serta-merta, susulan kebimbangan terhadap risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat.
Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan penggunaan aplikasi navigasi tempatan, TuJu yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif kepada Waze.
Arahan menghentikan penggunaan Waze itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi surat rasmi bertarikh 20 Oktober 2026 yang ditujukan kepada ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan Persekutuan, ketua pengurusan badan berkanun Persekutuan serta pihak berkuasa berkaitan.
Menurut Shamsul Azri, keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan Anwar, semalam.
“Semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan diarahkan memastikan arahan itu dimaklumkan kepada pegawai di bawah seliaan masing-masing termasuk agensi dan jabatan berkaitan untuk dilaksanakan serta-merta,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua penjawat awam supaya memberikan perhatian serius dan kerjasama penuh bagi memastikan arahan itu dipatuhi di setiap kementerian, jabatan serta agensi kerajaan.
“Sebarang pertanyaan atau keperluan penjelasan lanjut berhubung pelaksanaan arahan itu boleh dikemukakan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri selaku agensi penyelaras bagi perkara berkenaan,” tegas beliau.
Sementara itu, Anwar menerusi hantaran Facebook semalam menjelaskan mesyuarat JKSN turut memberikan perhatian terhadap risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat yang dikaitkan dengan penggunaan Waze.
“Mesyuarat turut meneliti risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze yang terikat di bawah undang-undang Kerajaan Israel.
“Sehubungan itu, penggunaan aplikasi tempatan TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), digalakkan sebagai alternatif,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam aspek perlindungan data dan identiti rakyat, khususnya ketika negara sedang memperkukuh ekosistem digital serta keselamatan siber.
“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan data dan identiti rakyat. Justeru, Kerajaan memperkukuh ekosistem identiti bersepadu dengan MyKad sebagai kredensial fizikal dan MyDigital ID bagi urusan digital, disokong perlindungan siber yang lebih ampuh termasuk persediaan menghadapi ancaman masa hadapan melalui PQC,” tegasnya.
Menurut Anwar, mesyuarat berkenaan turut membincangkan pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, keselamatan MyDigital ID, ancaman kecerdasan buatan autonomi serta perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).
Untuk rekod, Waze merupakan aplikasi navigasi berasaskan GPS yang dibangunkan oleh syarikat teknologi dari Israel pada 2009, dengan fungsi panduan perjalanan, maklumat kesesakan trafik dan perkongsian keadaan jalan raya secara masa nyata.
Penggunaan aplikasi navigasi seumpama itu turut melibatkan pemprosesan data lokasi dan laluan perjalanan pengguna, sekali gus menjadikan aspek keselamatan serta perlindungan maklumat antara perkara yang diberikan perhatian dalam keputusan kerajaan berkenaan.