Malaysia dan Indonesia sepakat memperkukuh usaha melindungi kanak-kanak daripada ancaman keselamatan dalam talian menerusi kerjasama langsung antara agensi pelaksana kedua-dua negara.

Kerjasama itu juga dirancang untuk diperluaskan dengan penyertaan Singapura, termasuk cadangan mengadakan pertemuan tiga pihak pada Disember depan.

Memetik laporan Bernama, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keselamatan kanak-kanak dalam persekitaran digital merupakan antara isu penting yang memerlukan tindakan bersama negara-negara serantau.

“Kita berusaha mengadakan pertemuan tiga pihak melibatkan Malaysia, Indonesia dan Singapura, insya-Allah pada Disember ini sekiranya kelapangan (waktu) mengizinkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia, Meutya Hafi di Bali, semalam.

Menurut Fahmi, perbezaan undang-undang dan kaedah penguatkuasaan antara negara ASEAN tidak semestinya menjadi penghalang kepada usaha membentuk kerjasama lebih erat dalam menangani isu berkenaan.

Malah katanya, inisiatif yang digerakkan Malaysia, Indonesia dan Singapura berpotensi membuka ruang kepada negara ASEAN lain untuk turut menyertainya.

“Kita bukan sekadar mempunyai dasar yang seiring, tetapi juga mungkin beberapa mekanisme yang hampir serupa, walaupun tidak semestinya sama sepenuhnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fahmi turut mengalu-alukan cadangan Meutya untuk memperkukuh hubungan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kementerian Komunikasi dan Digital Indonesia.

“Pengalaman MCMC dalam mengendalikan aduan orang ramai berkaitan media sosial juga boleh dimanfaatkan pihak berkuasa Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan Singapura, Josephine Teo, menerusi hantaran media sosial memaklumkan beliau turut bertukar pandangan dengan Fahmi mengenai perkembangan telekomunikasi, termasuk komunikasi selamat kuantum serta perlindungan kanak-kanak dan golongan muda dalam talian.

Pertemuan secara kebetulan itu berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, semalam, ketika Fahmi tiba di Bali bagi menyampaikan ucaptama pada Bali Tech Week 2026, manakala Teo menunggu penerbangan pulang ke Singapura.

Teo turut menyatakan hasrat untuk menerima kunjungan Fahmi ke Singapura dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi menerusi hantaran Facebook turut menegaskan bahawa usaha memperluas penggunaan teknologi digital di ASEAN perlu bergerak seiring dengan langkah memastikan persekitaran dalam talian lebih selamat, terutama bagi kanak-kanak dan golongan muda.

Beliau berkata, perkara itu antara yang ditekankan dalam ucaptamanya pada Bali Tech Week 2026, selain kepentingan memastikan manfaat transformasi digital dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, termasuk penduduk di kawasan kepulauan dan lokasi yang berdepan cabaran geografi.

“Pada masa sama, apabila kita memperluas akses dan mempercepat penerimagunaan teknologi, ruang digital perlu lebih selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan golongan muda,” katanya.

×