Kadang-kadang kita nampak apa yang berlaku dalam rumah tangga orang lain sebagai masalah peribadi. Tapi hakikatnya, keganasan rumah tangga bukan isu yang boleh dipandang sebelah mata, apatah lagi disuruh ‘selesaikan sendiri’.
Lebih membimbangkan, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 5,278 kes keganasan rumah tangga di seluruh negara sehingga Ogos 2026. Jumlah ini meningkat berbanding 5,041 kes yang dilaporkan dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Angka ini bukan sekadar nombor. Di sebalik setiap laporan, ada individu yang mungkin sedang bergelut dengan ketakutan, trauma dan situasi yang bukan mudah untuk dilepaskan.
Sebab itulah usaha untuk menangani keganasan terhadap wanita perlu diteruskan, bukan hanya melalui tindakan selepas sesuatu kejadian berlaku, tetapi juga dengan meningkatkan kesedaran dan membantu masyarakat mengenali bentuk keganasan serta saluran bantuan yang tersedia.
Terbaharu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri merasmikan Program Eliminate Violence Against Women (EVAW) sempena Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2026 di Seberang Jaya, Pulau Pinang, pada 20 Oktober.

Program anjuran Jabatan Pembangunan Wanita melalui Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Pulau Pinang itu merupakan sebahagian daripada gerakan pencegahan yang dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan.
Antaranya termasuklah program advokasi Aku Wanita@KRT, SARI@KRT serta pelaksanaan Road to EVAW di peringkat negeri sebelum kemuncaknya pada 25 November 2026.
Menariknya, usaha mendekati komuniti ini turut menunjukkan perkembangan positif. Setakat 26 September 2026, seramai 4,899 peserta telah disantuni menerusi program Aku Wanita@KRT, manakala 322 orang lagi mendapat manfaat melalui sesi K-Chat.
Ini menunjukkan betapa pentingnya ruang untuk masyarakat mendapatkan maklumat, berkongsi pengalaman dan mengetahui ke mana mereka boleh mendapatkan bantuan apabila berdepan situasi sukar.
Jangan Tunggu Sampai Keadaan Jadi Lebih Teruk
Buat wanita yang sedang melalui situasi keganasan, anda tak perlu hadap semuanya seorang diri. Bantuan tersedia dan mendapatkan pertolongan bukan bermaksud anda lemah.
Jika berada dalam situasi berbahaya, anda boleh membuat laporan di balai polis atau hospital berhampiran. Sokongan psikososial juga boleh didapati melalui Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang berdekatan.

Selain itu, Talian Kasih 15999 beroperasi 24 jam sehari, setiap hari. Anda juga boleh menghubungi WhatsApp Talian Kasih di 019-261 5999 untuk mendapatkan bantuan.
Paling penting, jangan anggap keganasan sebagai perkara yang perlu disimpan sebagai rahsia keluarga. Keselamatan, maruah dan kesejahteraan diri anda juga penting.
Kalau anda atau seseorang yang dikenali sedang berdepan situasi ini, jangan takut untuk mendapatkan bantuan. Kadangkala, satu tindakan kecil boleh menjadi langkah pertama untuk keluar daripada keadaan yang membahayakan.