Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang berjaya mendapatkan persetujuan Myanmar untuk menerima kembali rakyatnya, dengan segala kos penghantaran pulang ditanggung oleh negara berkenaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kejayaan itu merupakan antara pencapaian penting hasil usaha diplomatik Malaysia yang turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, Anwar sendiri menyifatkan persetujuan yang dicapai dengan Myanmar sebagai satu kejayaan luar biasa, khususnya dalam usaha menyelesaikan isu penghantaran pulang rakyat negara berkenaan.
“Ini satu pencapaian luar biasa kerana seperti yang Perdana Menteri maklumkan, Malaysia merupakan negara pertama di dunia berjaya meyakinkan sebuah negara seperti Myanmar untuk menerima kembali pelariannya.
“Semua dipulangkan pada kos ditanggung oleh pihak Myanmar itu sendiri. Jadi ini satu pencapaian diplomatik yang cukup membanggakan,” katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi bagi Oktober 2026 anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), hari ini.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Madani berkata, lawatan rasmi Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing pada 7 dan 8 Oktober lalu turut memberi ruang kepada kedua-dua negara membincangkan urusan penghantaran pulang rakyat Myanmar dalam jumlah lebih besar.
“Insya-ALLAH dalam masa terdekat, lebih 3,000 pelarian Myanmar pelbagai etnik akan mula dihantar pulang,” katanya.
Sebelum ini, seramai 1,476 tahanan warga Myanmar telah dihantar pulang dalam pelaksanaan fasa pertama yang menggunakan tiga kapal, termasuk sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi turut meminta Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) memberikan perhatian terhadap usaha diplomatik berkenaan, selain mengetengahkan perkembangan hubungan Malaysia dengan negara luar.
Beliau turut menyentuh hubungan diplomatik Malaysia dengan Mesir dan Jordan, termasuk kehadiran pemimpin kedua-dua negara ke Malaysia serta pelaksanaan Global Sumud bagi membantu rakyat Palestin.
“Jadi Insya-ALLAH, beberapa langkah diplomatik ini akan dapat mengukuhkan bukan hanya kedudukan Malaysia di mata dunia, tetapi juga membantu kumpulan-kumpulan seperti rakyat Palestin,” katanya.