Simpanan hampir RM2 juta didakwa lesap daripada dua akaun bank milik seorang kerabat Diraja Terengganu sehingga hanya berbaki RM73 dan RM99.

Memetik laporan BH Online, Tengku Ismail Tengku Ibrahim, 65, hanya menyedari kehilangan wang berjumlah RM1,985,065 itu ketika membuat semakan di kaunter bank pada awal Januari lalu.

Menurut Tengku Ismail, beliau percaya wang simpanannya berkurangan akibat beberapa siri transaksi yang dilakukan secara berperingkat tanpa disedarinya.

Beliau berkata, usaha mendapatkan penjelasan secara langsung daripada pihak bank tidak membuahkan hasil apabila persoalan mengenai transaksi berkenaan masih belum terjawab.

“Saya kemudian melantik peguam untuk menghantar surat rasmi kepada kedua-dua bank bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai transaksi terbabit.

“Bagaimanapun, sehingga kini saya masih belum menerima penjelasan yang dapat menjawab persoalan bagaimana wang itu boleh dikeluarkan daripada akaun saya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Ismail berkata, beliau dimaklumkan mengenai penahanan individu yang dipercayai mempunyai hubungan dengan akaun penerima wang berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, beliau masih menantikan maklumat lanjut hasil siasatan polis yang boleh digunakan bagi menyokong tindakan sivil terhadap kedua-dua institusi perbankan terbabit.

Sementara itu, peguamnya, Alif Danial Ahmad Shahrulnizam berkata, transaksi yang dipertikaikan dipercayai berlaku secara berperingkat antara September hingga Disember tahun lalu.

“Writ saman terhadap kedua-dua bank berjaya diserahkan pada 8 Oktober lalu.

“Pengurusan kes pertama bagi saman terhadap bank pertama ditetapkan pada 14 Oktober ini, manakala bagi bank kedua pada 19 Oktober,” katanya.

Alif Danial berkata, keputusan membawa pertikaian itu ke mahkamah dibuat selepas pihaknya mendakwa gagal memperoleh maklum balas memuaskan daripada bank terbabit, selain menuntut wang yang hilang dikembalikan bersama ganti rugi berkaitan.

Menurutnya, kejadian itu turut menjejaskan keadaan emosi Tengku Ismail yang kini berdepan keresahan dan trauma susulan kehilangan simpanan dalam jumlah besar.

×