Kawalan KLIA Diperketat, Sindiket Dadah Kini Guna Jet Persendirian

Sindiket pengedaran dadah antarabangsa dipercayai kini beralih menggunakan jet persendirian untuk menjalankan kegiatan penyeludupan susulan kawalan keselamatan yang semakin ketat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perubahan taktik itu dikesan selepas sindiket terbabit sebelum ini dipercayai menggunakan Lapangan Terbang Ipoh sebagai laluan alternatif.

“Apabila kita memperketatkan kawalan di KLIA, mereka mula mengubah taktik.

“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, mereka menggunakan Lapangan Terbang Ipoh. Terbaharu, kita mendapati mereka menggunakan jet persendirian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Perkembangan itu susulan rampasan 521 kilogram (kg) dadah jenis kristal disyaki methamphetamine oleh pihak berkuasa Laos daripada sebuah jet persendirian yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang pada 1 Oktober lalu.

Menurut Hussein, siasatan mendapati pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang tanpa membawa sebarang muatan sebelum tiba di Laos kira-kira jam 11.30 pagi.

Katanya, kira-kira dua jam kemudian, dua kenderaan tiba di lapangan terbang berkenaan dengan membawa 23 beg yang kemudiannya dipindahkan ke dalam pesawat terbabit.

Siasatan awal turut mendapati jet berkenaan dikendalikan sebuah syarikat penerbangan persendirian yang beroperasi dari Subang dan dipercayai ditempah untuk membawa barangan dari Laos ke Filipina.

“Dalam kes ini, mereka pada awalnya dimaklumkan bahawa penerbangan itu adalah untuk membawa barangan dari Laos ke Filipina,” katanya.

Hussein berkata, syarikat terbabit baru memulakan operasi pada Julai lalu dan menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk penerbangan untuk golongan kenamaan (VVIP), pengangkutan barangan serta membawa pesakit mendapatkan rawatan.

“Setakat ini, mereka telah menerima sembilan tempahan penerbangan dan kebanyakan perkhidmatan yang ditawarkan melibatkan penerbangan VVIP serta tujuan perubatan,” katanya.

Beliau berkata, penerbangan ke Laos yang dikaitkan dengan rampasan dadah itu merupakan tempahan kelapan syarikat berkenaan yang memiliki dua jet persendirian berpangkalan di Subang.

Susulan siasatan kes itu, seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun yang juga pemilik syarikat penerbangan terbabit ditahan di Lapangan Terbang Subang kira-kira jam 12 tengah hari, Rabu lalu.

Bagaimanapun, Hussein menjelaskan polis masih menyiasat sama ada pemilik syarikat itu mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah atau perkhidmatan penerbangannya telah disalahgunakan pihak lain.

Sementara itu, seramai 13 individu termasuk seorang rakyat Malaysia serta warga Singapura dan Filipina turut ditahan pihak berkuasa Laos bagi membantu siasatan kes penyeludupan dadah rentas negara berkenaan.

×