Penyanyi Zizi Kirana berkata dia sudah berdamai dengan takdir sejak dua tahun lalu selepas sah bercerai pada April.

Memetik mStar Online, Zizi berkata sepanjang tempoh tersebut dia gunakan untuk merawat hati serta mencari kekuatan menerusi misi kemanusiaan yang disertainya.

BACA: Zizi Kirana Jalin Hubungan Baik Keluarga Mentua, ‘Cut Off’ Dengan Yusuf Bahrin

“Kalau nak katakan berdamai dengan takdir selama dua tahun itu saya dah belajar untuk melalui fasa ‘healing’. Itu adalah fasa saya menerima semua keadaan yang berlaku.

“Jadi bila Allah izinkan saya pergi misi kemanusiaan, saya ambil kebaikan yang Allah beri kepada saya supaya boleh melangkah ke hadapan,” katanya.

Sementara itu, Zizi berkata dia tidak menutup pintu hati meskipun berdepan kegagalan rumah tangga serta menyerahkan segalanya kepada Allah.

“Saya tak menolak apa-apa yang datang, saya tidak menutup pintu hati. Perkara itu adalah benda yang baik, Allah aturkan semuanya. Saya cuma mengikut apa yang diaturkan olehnya,” katanya.

Dalam pada itu, Zizi ditanya mengenai pandangannya jika dilamar menjadi isteri kedua, penyanyi itu berkata sebolehnya dia mahu mengelak serta berharap ianya tidak berlaku.

“Perkara itu saya sedaya upaya cuba elakkan. Saya cuma mampu berdoa supaya Allah berikan yang terbaik, sebolehnya saya memang tak nak,” katanya.

Sumber: mStar Online

×