Tiga Pelakon Ditahan Susulan Video Teater Didakwa Persenda Rukun Negara

Tiga pelakon ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung video pementasan teater yang tular baru-baru ini kerana didakwa mempersendakan Rukun Negara serta menyentuh sensitiviti kaum.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, ketiga-tiga individu terbabit terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita yang ditahan di Selangor dan Johor.

Menurutnya, mereka merupakan tiga daripada lima pelakon yang dikenal pasti terbabit dalam pementasan berkenaan yang sebenarnya berlangsung pada 2018 di Penang Performing Arts Centre (PenangPAC), Pulau Pinang.

“Daripada lima pelakon yang dikenal pasti, seorang sudah meninggal dunia, manakala seorang lagi dipercayai berada di United Kingdom berdasarkan rekod imigresen,” katanya di Bukit Aman, hari ini.

Ketiga-tiga individu berusia 28, 29 dan 47 tahun itu bagaimanapun sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka dirakam.

Kumar berkata, polis tidak memohon perintah reman selepas mereka memberikan kerjasama manakala pemeriksaan terhadap telefon bimbit dan peranti masing-masing tidak menemukan sebarang bahan berkaitan pementasan berkenaan.

“Kita mengambil keterangan mereka dan memberikan jamin polis (dibebaskan) kerana kita mendapat kerjasama serta sudah memeriksa peralatan mereka.

“Memang tiada barang ditemukan, jadi tiada kewajaran untuk mereka direman,” katanya.

Siasatan setakat ini mendapati pementasan berkenaan diadakan secara tertutup kira-kira lapan tahun lalu dan rakamannya tidak tular ketika itu serta tiada laporan polis dibuat.

Bagaimanapun, rakaman pementasan berkenaan dimuat naik semula di media sosial baru-baru ini sebelum satu laporan polis dibuat susulan penularannya.

Susulan itu, polis kini memberi tumpuan untuk mengesan individu yang menularkan rakaman berkenaan termasuk meneliti alamat Protokol Internet (IP) berkaitan.

“Sekarang ada orang yang menularkan perkara yang berlaku pada 2018 dan kita sedang mengesan orang yang menularkan video itu.

“Hasil siasatan terhadap tiga individu yang ditahan juga mendapati tiada kandungan atau adegan pementasan itu dalam telefon bimbit atau gajet mereka,” katanya.

Menurut Kumar, pementasan itu membabitkan beberapa kumpulan yang dipercayai diberikan tempoh sekitar 10 hingga 15 minit untuk membuat persembahan.

“Siasatan awal polis menunjukkan terdapat pemilihan bagi menentukan persembahan terbaik dalam acara berkenaan.

“Pusat seni persembahan berkenaan juga sudah ditutup manakala pengarah pementasan itu dikenal pasti sebagai warga United Kingdom (UK) yang sudah meninggalkan negara ini,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kumar berkata, siasatan masih berjalan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan serta nasihat lanjut.

×