Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun tampil menegur selebriti dan usahawan terkenal susulan tindakan mereka memaparkan aksi mesra di media sosial.
Menerusi perkongsian di Facebook, Ustazah Asma’ berkata jika sudah bernikah wajib dihebahkan agar tidak timbul fitnah, namun jika sebaliknya konten sedemikian perlu dihentikan.
BACA: Fathia Latiff Menangis Dapat Bertemu Ustazah Asma Harun
“Kalau dah nikah, wajiblah hebahkan, jangan sampai timbul fitnah, kalau belum nikah, berhentilah buat konten seperti ini.
“Apabila diri sendiri memilih untuk menayangkan kemesraan kepada khalayak, maka perlu bersedia apabila masyarakat mula bertanya, menegur dan membuat pelbagai andaian.
“Jika benar belum nikah, dah tahap wajib nikah segera ni.. Kita mengharapkan ia bukan semata konten untuk melariskan jualan, hingga sanggup jatuhkan maruah sebagai Muslim,” tulisnya.
Sementara itu, Ustazah Asma’ turut menjelaskan mengenai sentuhan berlapik antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dimana pergaulan yang melanggar batas ianya berdosa.
“Jika duduk terlalu rapat sehingga berlaku sentuhan tubuh, memegang lengan atau bahu, bersandar, menyuapkan makanan atau melakukan aksi kemesraan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa keperluan syarie, maka ia bukan lagi persoalan lapik semata-mata.
“Apatah lagi jika sentuhan dan kemesraan itu dilakukan dengan sengaja untuk menghasilkan konten. Ini bukan darurat, bukan rawatan dan bukan keperluan yang diiktiraf syarak. Perbuatan yang melanggar batas pergaulan tersebut TIDAK DIBENARKAN dan berdosa,” tulisnya.