Menjelang Festival Jom Malaysia dan Festival Pengguna (CONFEST) 2026 minggu ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mula membawa bahang penganjuran itu ke Pulau Pinang menerusi konvoi promosi yang dilepaskan dari Putrajaya, hari ini.
Pasukan Promosi dan Hebahan Jom Malaysia itu akan bergerak menuju ke Pulau Pinang bagi mempromosikan program selama empat hari yang bakal berlangsung di pekarangan Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan bermula 17 hingga 20 September ini.
Pelepasan konvoi disempurnakan Ketua Setiausaha KPDN, Dato’ Seri Mohd Sayuthi Bakar sebagai sebahagian gerak kerja kementerian untuk memperluas hebahan serta mengajak orang ramai hadir memeriahkan festival berkenaan.
“Sepanjang perjalanan, pasukan promosi akan singgah di beberapa kawasan Rehat dan Rawat (R&R) terpilih untuk melaksanakan aktiviti promosi, menyampaikan maklumat program serta berinteraksi secara langsung dengan orang ramai.
“Konvoi promosi kali ini tampil dengan pendekatan yang lebih menarik menerusi penglibatan beberapa jenis kenderaan, termasuk rowing truck yang membawa bahan promosi Jom Malaysia dan CONFEST 2026 serta van coaster KPDN yang dibalut khas dengan identiti Jom Malaysia,” kata KPDN dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kementerian itu, Jommy yang merupakan ikon rasmi Jom Malaysia turut menyertai perjalanan berkenaan bagi memeriahkan aktiviti promosi dan mendekatkan kempen itu dengan masyarakat.
Katanya, Grab sebagai rakan strategik turut menyokong usaha berkenaan menerusi penyertaan kenderaan GrabCar dalam konvoi tersebut.
Festival Jom Malaysia yang dilancarkan secara rasmi pada 27 Jun lalu, sebelum ini telah dianjurkan di Pasar Seni, Kuala Lumpur dan Sandakan, Sabah dengan Pulau Pinang menjadi antara destinasi utama seterusnya dalam siri jelajah berkenaan.
“Pelbagai aktiviti menarik akan disediakan sepanjang program bagi memberi pengalaman kepenggunaan yang lebih dekat, interaktif dan bermanfaat kepada pengunjung, selain menjadi platform menghimpunkan inisiatif KPDN, rakan strategik, pemain industri serta komuniti setempat,” katanya.
Bagi edisi Pulau Pinang, Jom Malaysia dan CONFEST 2026 akan berlangsung dari 17 hingga 20 September, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam di pekarangan Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.
Kemuncak penganjuran dijadual berlangsung pada 19 September apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali merasmikan Program Jom Malaysia dan CONFEST 2026 pada jam 8 malam.
“KPDN mengajak seluruh warga Pulau Pinang dan negeri-negeri berhampiran untuk hadir bersama keluarga bagi memeriahkan Program Jom Malaysia, sekali gus merasai sendiri pelbagai pengisian dan aktiviti yang disediakan,” kata kenyataan itu.
KREDIT GAMBAR : UKK KPDN