Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti atau urusan seperti yang digambarkan dalam laporan terbaharu syarikat kecerdasan buatan (AI), Anthropic.
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai laporan berkenaan dan memandang serius perkara yang dibangkitkan.
“Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, perkara yang dinyatakan dalam laporan berkenaan bukan sebahagian daripada fungsi atau mandat MCMC.
“MCMC juga tidak terlibat dalam sebarang aktiviti atau urusan sebagaimana yang digambarkan dalam laporan tersebut,” katanya.
MCMC berkata pihaknya sedang meneliti laporan berkenaan dan akan mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut daripada pihak-pihak berkaitan bagi memastikan fakta sebenar serta memahami konteks isu yang dibangkitkan.
“Berdasarkan maklumat dan bukti yang diperoleh, MCMC akan menentukan tindakan susulan yang bersesuaian mengikut bidang kuasanya, termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Kenyataan itu menyusuli laporan terbaharu Anthropic yang antara lain mendakwa mengesan satu operasi manipulasi politik komersial yang menyasarkan Malaysia menggunakan teknologi AI Claude.
Menurut Anthropic, operasi berkenaan melibatkan lebih 1,000 akaun palsu di X, selain sebuah portal berita palsu dikenali sebagai Malaysia Pulse.
Operasi itu turut didakwa menggunakan data banci dan pilihan raya serta jutaan rekod pengundi bagi membina profil sasaran mengikut kawasan, merangkumi kesemua 222 kawasan Parlimen di negara ini.
Laporan berkenaan turut mendakwa pihak di sebalik operasi tersebut pernah berusaha mendapatkan kontrak dengan pengawal selia komunikasi nasional Malaysia, namun Anthropic berkata pihaknya tidak menemui bukti bahawa usaha itu berjaya.
Dalam pada itu, MCMC menegaskan usaha melindungi orang ramai dan menangani kemudaratan dalam talian kekal menjadi teras tanggungjawab suruhanjaya berkenaan.
MCMC berkata, pihaknya akan terus memelihara dan memastikan persekitaran dalam talian yang selamat dan dipercayai untuk rakyat Malaysia.
KREDIT GAMBAR: MEDIA MULIA