Penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman menyifatkan detik dia menerima keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun adalah momen yang tidak dapat dilupakan.
Menerusi temu bual bersama Sinar FM, Yasin berkata ketika itu dia sempat berfikir mengenai hayatnya dimana dia akan menjalani hukuman sehingga usia 80 tahun.
BACA: Yasin Bakal Terbit Buku Autobiografi 400 Muka Surat
“Paling teruk adalah ketika saya dijatuhi hukuman penjara 30 tahun. Berderau darah sampai naik ke kepala. Apabila turun ke lokap saya terbaring terus.
“Kalau lekat 30 tahun, keluar umur saya 80 tahun. Itupun kalau hidup panjang, jika tidak meninggal dunia dalam penjara,” katanya.
Sementara itu, Yasin berkata sepanjang tempoh hukuman penjara dia mendekatkan dirinya Allah serta berkarya.
“Bila masuk Penjara Kajang, saya betul-betul mendekatkan diri dengan Ilahi. Saya sembahyang, hafal Al-Quran dan berdoa. Lagu-lagu yang saya tulis dalam penjara memang lain macam sebab dengan kesunyian dan waktu terluang begitu panjang.
“Perasaan duduk dalam penjara memang susah, tertekan dan tak tahu masa depan. Rasa hilang harapan pun ada” katanya.
Minggu lalu, Yassin dibenarkan pulang ke rumah selepas hampir empat tahun menjalani rawatan di Hospital Bahagia.
Sumber: mStar Online