Dari Flores Ke Pangkuan Keluarga, Penantian 22 Tahun Berakhir

Penantian selama lebih dua dekad akhirnya ternoktah apabila seorang wanita Malaysia yang dilaporkan hilang sejak 2004 selamat kembali ke tanah air selepas ditemui di Flores, Indonesia.

Mariam Mohamad Nazeri tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah kira-kira pukul 10 malam kelmarin menerusi penerbangan Batik Air Malaysia OD349, sekali gus menamatkan episod panjang yang penuh tanda tanya buat keluarganya.

Menurut laporan RTM, Mariam dipercayai meninggalkan Malaysia ke Indonesia bersama anak perempuannya pada 2004 sebelum hubungan dengan ahli keluarga terputus tanpa sebarang khabar berita.

Anak saudaranya, Norshamsiah Zainal Abidin berkata, kali terakhir keluarga menerima panggilan daripada Mariam adalah pada 2011 ketika wanita itu berada dalam keadaan tertekan dan merayu agar dibantu untuk pulang ke Malaysia.

Sejak itu, usaha menjejaki Mariam diteruskan tanpa mengenal putus asa dengan bantuan pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Kebajikan Malaysia (PEKEMAS), Wisma Putra, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kedutaan Malaysia, media sosial serta penduduk tempatan di Flores.

“Kita tahu Flores ini luas, terdiri daripada banyak pulau dan satu-satu kawasan pula mempunyai puluhan kampung. Jadi apabila kita mencari, memang sukar kerana kita tidak tahu lokasi sebenar.

“Sebab itu kita gunakan media sosial dan berkawan dengan masyarakat di sana bagi membantu usaha pencarian,” katanya kepada RTM.

Selepas berjaya dikesan, Mariam ditempatkan di bawah jagaan sementara di Flores sementara urusan dokumentasi bersama Kedutaan Malaysia di Jakarta diselesaikan sebelum beliau dibawa pulang ke tanah air.

Berkongsi pengalaman sepanjang pencarian itu, Norshamsiah berharap keluarga lain yang mempunyai saudara di luar negara tidak mengabaikan keadaan insan tersayang sekiranya mengetahui lokasi mereka.

“Nasihat saya kepada mereka yang tahu keluarga berada di sana, ambil tahu dan jangan biarkan. Kita tidak tahu bagaimana keadaan mereka di sana. Bila sudah mengetahui, berusahalah untuk membantu dan jangan biarkan mereka begitu sahaja,” jelasnya.

Sementara itu, Penasihat PEKEMAS, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kejayaan membawa pulang Mariam adalah hasil kerjasama erat pelbagai agensi yang tidak pernah berhenti membantu walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Kolaborasi ini berjaya dilaksanakan dengan baik dan akhirnya kita dapat membawa mereka pulang.

“Walaupun mengambil masa kerana jadual asal untuk membawa Mariam kembali adalah Isnin lalu, usaha itu sedikit tertangguh susulan bencana gunung berapi yang menjejaskan perjalanan,” katanya.

Kepulangan Mariam bukan sekadar menamatkan kehilangan selama 22 tahun, malah mengubat kerinduan sebuah keluarga yang tidak pernah berhenti berharap suatu hari nanti insan tersayang itu akan kembali menjejakkan kaki ke tanah air.

KREDIT GAMBAR UTAMA: RTM

×