Kementerian Perpaduan Negara (KPN) hari ini melakar satu lagi langkah penting apabila melancarkan Pelan Strategik KPN 2026-2030 serta Pelan Strategik Pendigitalan KPN 2026-2030 yang bakal menjadi kompas utama kementerian itu bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pelancaran yang disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang sempena Majlis Perhimpunan Bulanan KPN itu bukan sekadar memperkenalkan dokumen perancangan baharu, malah menjadi gambaran jelas mengenai hala tuju pembinaan negara bangsa yang lebih inklusif, progresif dan relevan dengan cabaran semasa.
Menerusi Pelan Strategik KPN 2026-2030, sebanyak lima teras utama telah digariskan melibatkan Patriotisme dan Demokrasi, Pembinaan Negara Bangsa, Ekosistem Perpaduan, Transformasi Digital Perpaduan serta Tadbir Urus Organisasi dan Komunikasi.
Keseluruhannya, pelan tersebut merangkumi 12 strategi dan 33 inisiatif yang dirangka untuk memperkasakan nilai kebangsaan, mengukuhkan integrasi sosial serta memastikan khazanah warisan negara terus dipelihara sebagai asas penting dalam pembentukan sebuah negara bangsa yang kukuh.

Apa yang menarik, pelan baharu ini turut menampilkan pendekatan pemantauan yang lebih menyeluruh menerusi penggunaan Rubrik Penilaian Impak Polisi (PIP). Pendekatan ini dilihat mampu memastikan setiap inisiatif yang dirancang bukan sahaja dilaksanakan dengan baik, malah memberikan impak sebenar kepada masyarakat.
Dalam masa yang sama, KPN turut memberi penekanan terhadap agenda pendigitalan menerusi Pelan Strategik Pendigitalan 2026-2030 yang merangkumi tujuh strategi, 21 program dan 55 subprogram.
Pelan tersebut memberi fokus kepada tiga aspek utama iaitu pemerkasaan ekosistem penyampaian perkhidmatan digital bersepadu, pengukuhan infrastruktur digital yang lebih selamat dan moden serta memperkukuh tadbir urus digital bersama pembangunan keupayaan ICT.
Selain menyentuh mengenai transformasi digital kementerian, Aaron turut memberi perhatian terhadap peranan Jabatan Muzium Malaysia dalam memastikan institusi permuziuman negara terus relevan kepada masyarakat hari ini.
Antara cadangan yang diketengahkan termasuk memperluaskan kerjasama strategik antara muzium dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor korporat dan pihak swasta menerusi Geran Padanan Muzium.

Malah, beliau turut menyarankan agar Pangkalan Data Nasional Koleksi Artifak Kebangsaan diwujudkan bagi menghimpunkan maklumat koleksi daripada muzium di seluruh negara dalam satu sistem yang lebih tersusun dan berdaya saing.
Dalam usaha memperkayakan lagi koleksi warisan negara, Jabatan Muzium Malaysia juga disaran memperhebat Kempen Derma Koleksi bagi menggalakkan orang ramai menyumbang artifak, manuskrip, dokumen, gambar serta bahan bersejarah yang mempunyai nilai warisan untuk dipelihara generasi akan datang.
Setakat ini, Jabatan Muzium Malaysia merekodkan sebanyak 437,242 koleksi yang menjadi sebahagian daripada khazanah sejarah negara.

Tidak ketinggalan, Aaron turut menggesa agar strategi promosi dan komunikasi muzium diperbaharui supaya lebih dekat dengan generasi muda melalui kandungan yang segar, kreatif dan mesra digital.
Langkah tersebut termasuk pembangunan pengalaman imersif di Muzium Negara serta pembangunan Pameran Digital Muzium Arkeologi Lembah Bujang yang dijangka mampu memberikan pengalaman lebih interaktif kepada pengunjung.
Dengan pelancaran kedua-dua pelan strategik ini, KPN dilihat bukan sahaja mahu memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat, malah berusaha memastikan warisan negara terus dihargai sambil memanfaatkan teknologi sebagai pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih efisien dan moden menjelang tahun 2030.