Ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq iaitu Sharifah Mahani berkata keluarganya kini sudah boleh membuat persiapan perkahwinan anaknya bersama Bella Astillah.

Memetik Harian Metro, Mahani berkata sebelum ini mereka tidak membuat persiapan perkahwinan pasangan itu kerana bimbang seandainya keputusan mahkamah tidak berpihak kepada anaknya.

BACA: Syed Saddiq Dah Dapat ‘Lampu Hijau’ Mama & Buya Untuk Kahwin

“Kita memang tak ada buat persiapan lagi sebab tunggu keputusan hari ini. Setiap kali orang tanya bila majlis (perkahwinan), saya takkan jawab. Saya hanya tunggu keputusan mahkamah hari ini.

“Jadi bila keputusan memihak kepada Syed Saddiq, hati saya gembira. Bayangkan kalau sesuatu yang negatif berlaku pada hari ini, bagaimana? Saya tak nak mengecewakan anak orang, berdosa,” katanya.

Sementara itu, Mahani berkata mereka kini akhirnya boleh membuat persiapan perkahwinan serta bersyukur anaknya dikurniakan bakal isteri yang setia bersama ketika susah senang.

“Saya selalu tertanya-tanya, adakah dia akan bertemu pasangan yang sanggup berkorban dan melalui semua ini bersama-sama?

“Alhamdulillah, Bella sanggup. Insya-Allah mudah-mudahan dengan keizinan Allah, mereka dapat bersama kerana saya nampak Bella berjuang bersama-sama Syed Saddiq mencari rezeki kerana beliau tak ada peruntukan, tak ada apa-apa.

“Dia juga berjaya memberi kegembiraan kepada anak saya. Orang yang boleh memberi kegembiraan untuk anak saya, dialah yang layak jadi menantu saya,” katanya.

Sumber: Harian Metro

×