Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan keyakinan bahawa kontinjen TVET@KKDW mampu mencipta sejarah dengan menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia di pentas WorldSkills Competition 2026 yang akan berlangsung di Shanghai, China pada 22 hingga 27 September depan.

Keyakinan itu disuarakan ketika Majlis Amanat YAB Timbalan Perdana Menteri Bersama Kontinjen TVET@KKDW ke WorldSkills Shanghai 2026 yang berlangsung di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur pada Isnin.

Menurut beliau, penyertaan ke WorldSkills bukan sekadar sebuah pertandingan kemahiran, sebaliknya menjadi simbol keyakinan negara terhadap keupayaan bakat anak muda Malaysia untuk bersaing di pentas dunia.

“Keberadaan anda di Shanghai nanti bukan lagi untuk mencuba nasib, sebaliknya anda berada di sana dengan tekad untuk mencipta kejayaan,” katanya.

Sasar Emas Pertama Buat Malaysia

Malaysia mula menyertai WorldSkills sejak tahun 1993 selepas menjadi ahli WorldSkills International pada 1992. Sepanjang penyertaan itu, negara telah berjaya membawa pulang empat pingat gangsa, namun masih memburu pingat emas pertama.

Ahmad Zahid berharap baki tempoh dua bulan sebelum pertandingan dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua peserta untuk memperkemaskan persediaan dari segi kemahiran, disiplin serta kekuatan mental.

22 Peserta Bawa Cabaran Negara Ke Shanghai

Bagi edisi kali ini, seramai 22 peserta akan membawa cabaran Malaysia dalam 21 bidang kemahiran, termasuk sembilan peserta daripada institusi TVET di bawah KKDW melibatkan TVET MARA, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan GIATMARA.

Sembilan peserta itu akan bertanding dalam bidang Fashion Technology, Car Painting, Electronics, Cyber Security, Rail Vehicle Technology, Cabinet Making, Digital Construction, Electrical Installations serta Mechanical Engineering CAD.

Mereka turut dibimbing oleh lapan jurulatih selain disokong tujuh Pakar Negara yang akan bertindak sebagai juri mengikut bidang kepakaran masing-masing.

Menurut Ahmad Zahid, penyertaan kali ini cukup bermakna apabila ia merupakan kontinjen terbesar pernah dihantar oleh KKDW ke pentas WorldSkills sejak Malaysia mula menyertainya.

Anak Desa Kini Mampu Berdiri Di Pentas Dunia

Beliau berkata kejayaan TVET@KKDW bukan diukur melalui jumlah institusi atau angka enrolmen semata-mata, tetapi apabila anak-anak desa mampu berdiri sama tinggi dengan peserta terbaik dunia hasil latihan, kemahiran dan keyakinan yang dibina.

“Anak desa bukan sahaja mampu berjaya di kampung sendiri, tetapi mampu membawa nama negara ke Shanghai dan ke pentas dunia,” katanya.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid turut mengingatkan peserta bahawa WorldSkills merupakan pertandingan yang menggunakan standard industri bertaraf antarabangsa.

Katanya, bakat semata-mata tidak mencukupi kerana kemenangan memerlukan disiplin, latihan yang konsisten, kekuatan mental serta kreativiti untuk menghasilkan kerja berkualiti tinggi.

Beliau turut menggesa peserta menjadikan jurulatih sebagai rakan strategik sepanjang tempoh persediaan selain sentiasa memperbaiki kelemahan dan tidak cepat berpuas hati.

TVET 2.0 Fokus AI, Robotik & Teknologi Masa Depan

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa agenda TVET 2.0 perlu terus diperkasakan dengan memberi penekanan kepada teknologi pintar, automasi, robotik, kecerdasan buatan (AI), kemahiran berteknologi tinggi serta kemahiran hijau bagi memenuhi keperluan industri masa depan.

Menurutnya, matlamat TVET bukan lagi sekadar melahirkan individu yang mahir mengendalikan mesin, sebaliknya melahirkan pencipta teknologi, pakar analitik data dan penyelesai masalah bertaraf dunia.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua jurulatih, tenaga pengajar, warga institusi TVET serta pasukan strategi yang menjadi tulang belakang kepada persediaan kontinjen negara.

Ganjaran Khas Menanti Pemenang Pingat Emas

Dalam majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA, Technologist Ahmad Hamdi Ibrahim yang dilantik sebagai Strategic Team Leader Kontinjen Malaysia turut diberi penghargaan atas peranannya menyusun strategi serta memperkukuhkan persediaan kontinjen negara.

Ahmad Zahid turut mengumumkan bahawa beliau akan menyediakan ganjaran khas kepada peserta TVET@KKDW yang berjaya menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia di WorldSkills Shanghai 2026 sebagai suntikan motivasi tambahan.

Robot Humanoid Jadi Tumpuan Majlis Pelepasan

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen TVET@KKDW sebagai simbolik pelepasan rasmi sebelum berangkat ke Shanghai.

Turut mencuri perhatian ialah demonstrasi robot humanoid milik TVET@KKDW yang dikendalikan oleh TVET Collaboration Hub UniKL Robotics and Automation Center, UniKL Malaysia-France Institute, sekali gus memperlihatkan aspirasi TVET 2.0 yang memberi fokus kepada pembangunan teknologi pintar, automasi dan robotik.

Berdasarkan rekod pencapaian sebelum ini, peserta TVET@KKDW berjaya membawa pulang beberapa anugerah Medallion for Excellence pada edisi WorldSkills di Sao Paulo (2015), Abu Dhabi (2017), Kazan (2019) dan Lyon (2024), sekali gus memberi keyakinan bahawa kontinjen kali ini mempunyai potensi untuk mencipta sejarah baharu buat negara.

‘Gegarkan Shanghai, Bawa Pulang Emas!’

Mengakhiri ucapannya, Ahmad Zahid menyeru seluruh kontinjen agar membawa semangat juang yang tinggi demi mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

“Gegarkan Shanghai, Bawa Pulang Emas! Let’s Prove Malaysian Skills are World-Class!” katanya.

×