Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mempersoalkan dakwaan kononnya orang Melayu berada dalam keadaan terancam di Negeri Sembilan apabila kerajaan negeri tidak lagi diterajui UMNO-Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, dakwaan yang terus dimainkan oleh bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar itu hanyalah naratif lama yang tidak lagi selari dengan realiti pentadbiran negeri.

“Selalu kata Melayu terancam, ini taktik lama. Apa yang terancam? Di Negeri Sembilan semuanya ok sahaja.

“Menteri Besar tetap orang Melayu dan program serta dasar kerajaan yang menjaga kepentingan rakyat termasuk orang Melayu terus dilaksanakan sejak Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri ini pada 2018,” katanya.

Anthony berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Celik Madani dan Dharma Madani Zon Selatan di Seremban, hari ini.

Beliau mengulas ucapan Khairy pada Mesyuarat Pemuda dan Puteri UMNO Seremban, Ahad lalu, yang mendakwa hanya UMNO-BN mampu mempertahankan kepentingan orang Melayu, sekali gus menggesa rakyat memberi mandat kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut Anthony, dakwaan tersebut wajar dinilai sendiri oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan yang melalui sendiri pengalaman berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri sejak 2018.

“Apa yang orang Melayu terancam di Negeri Sembilan? Tanya orang Melayu di negeri ini, mungkin beliau (Khairy) tidak tahu kerana sudah lama tinggalkan Rembau.

“Biasalah semuanya salah DAP. Yang saya pelik pemimpin-pemimpin yang mainkan sentimen kaum ini, tidak ada skrip atau alasan lain ke selain daripada menyalahkan DAP?,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Anthony turut menolak dakwaan bahawa DAP menguasai kerajaan sehingga mempengaruhi keputusan Menteri Besar atau Perdana Menteri.

Sebaliknya, beliau menjelaskan setiap parti komponen dalam Kerajaan Madani berhak mengemukakan pandangan, namun segala keputusan dibuat secara kolektif melalui persetujuan bersama.

“Sudah tentu kita berbincang apa sahaja dalam gabungan politik dan memberikan pandangan. Tidak akan kita nak duduk membisu saja.

“Kita bagi pandangan, UMNO juga bagi pandangan tetapi akhirnya perdana menteri selaku pengerusi Jemaah Menteri akan membuat pertimbangan kesemua pandangan dan membuat keputusan yang adil, bukannya ikut telunjuk mana-mana pihak, begitu juga Menteri Besar di Negeri Sembilan,” katanya.

Sehubungan itu, Anthony berharap Khairy tampil dengan pendekatan politik yang lebih progresif dan tidak lagi bergantung kepada sentimen perkauman sebagai modal untuk meraih sokongan politik.

×