Trend penganjuran cabutan bertuah yang semakin kerap digunakan sebagai strategi pemasaran, termasuk oleh peniaga dalam talian dan influencer media sosial bagi melariskan jualan, mengundang peringatan daripada Mufti Terengganu supaya masyarakat tidak terpedaya dengan tawaran hadiah lumayan tanpa memahami hukumnya terlebih dahulu.
Mufti Terengganu, Profesor Dr Syed Hadzrullathfi Syed Omar menegaskan, penyertaan dalam program cabutan bertuah boleh bertukar menjadi haram sekiranya pelaksanaannya mengandungi unsur perjudian, penipuan atau eksploitasi terhadap pengguna.
Menurut beliau, hukum asal menyertai cabutan bertuah bukanlah haram secara mutlak. Sebaliknya, ia bergantung kepada cara pelaksanaannya yang mesti mematuhi prinsip syariah.
“Sesuatu cabutan bertuah hendaklah bebas daripada unsur perjudian, ketidakpastian melampau (gharar), penipuan (ghish), eksploitasi pengguna serta pengambilan harta secara batil.
“Perkara sama (haram) turut berlaku sekiranya harga sesuatu produk dinaikkan secara tidak munasabah oleh pihak penganjur bagi membiayai hadiah yang ditawarkan kepada peserta,” katanya menerusi surat rasmi.
Surat berkenaan dikeluarkan sebagai maklum balas terhadap pertanyaan awam mengenai trend semasa penganjuran cabutan bertuah yang kini semakin meluas, termasuk menerusi platform digital.
Syed Hadzrullathfi menjelaskan, antara keadaan yang boleh membawa kepada unsur perjudian ialah apabila peserta diwajibkan membayar yuran tambahan, membeli kupon khas atau menanggung kos tertentu semata-mata bagi melayakkan diri menyertai cabutan dan memenangi hadiah.
Beliau berkata, cabutan bertuah hanya diharuskan sekiranya penyertaan tidak melibatkan sebarang bayaran tambahan, manakala harga produk atau perkhidmatan yang ditawarkan kekal pada harga pasaran sebenar.
Pada masa sama, katanya, pembelian sesuatu produk tidak boleh dijadikan tujuan utama semata-mata untuk merebut hadiah, selain hadiah yang ditawarkan hendaklah dibiayai daripada sumber yang sah.
“Semua terma dan syarat penyertaan juga perlu dinyatakan secara jelas, telus dan adil bagi mengelakkan sebarang keraguan dalam kalangan pengguna.
“Semua program cabutan bertuah khususnya melibatkan promosi digital dan pemasaran semasa perlu dinilai berdasarkan struktur pelaksanaannya, sumber pembiayaan hadiah serta syarat penyertaan,” katanya.
Beliau turut berpandangan garis panduan khusus berkaitan pelaksanaan cabutan bertuah patuh syariah perlu diperluaskan kepada masyarakat dan pihak penganjur supaya aktiviti promosi tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Sebagai rujukan, Jabatan Mufti Negeri Terengganu turut merujuk kepada Garis Panduan Berasaskan Hadiah yang diperakukan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-84 bagi membantu masyarakat memahami pelaksanaan cabutan bertuah yang menepati syariat.
Dalam masa sama, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran hadiah bernilai tinggi tanpa meneliti syarat penyertaan terlebih dahulu agar tidak terjebak dalam amalan yang bercanggah dengan hukum syarak.