NFCC Tegaskan Lantikan Azam Baki Sah

Polemik mengenai pelantikan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ke dalam Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) terus hangat diperkatakan apabila pelbagai pihak mempersoalkan kewajaran keputusan itu.

Bagaimanapun, NFCC hari ini menjelaskan pelantikan Azam adalah sah di sisi undang-undang kerana dibuat atas kapasiti individu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, bukannya berdasarkan jawatan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Ketua Pengarah NFCC, Shamshun Baharin Jamil berkata, Azam dilantik sebagai anggota Lembaga Penasihat NFCC bagi tempoh tiga tahun bermula 20 September 2024 hingga 19 September 2027.

“Pelantikan tersebut dibuat atas kapasiti individu dan telah mendapat perkenan rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong.”

“Keanggotaan beliau di dalam Lembaga Penasihat berkenaan adalah bersifat bebas dan tidak terikat kepada jawatan semasa beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Menurut beliau, keanggotaan Azam akan terus berkuat kuasa sehingga tamat tempoh pelantikan, melainkan ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong.

NFCC turut menegaskan kehadiran Azam pada Mesyuarat Lembaga Penasihat NFCC pada 30 Jun lalu adalah teratur dan sah mengikut Akta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2019 (Akta 822) kerana beliau merupakan anggota lembaga yang sah.

Azam menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Mei lalu selepas menerajui suruhanjaya itu selama enam tahun. Beliau kemudian digantikan oleh Abdul Halim Aman, bekas hakim Mahkamah Tinggi.

Lembaga Penasihat NFCC dipengerusikan oleh Peguam Negara, Dusuki Mokhtar, manakala anggotanya turut terdiri daripada Ketua Polis Negara, Khalid Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri, Abu Tariq Jamaludin; Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Marzunisham Omar serta Ketua Pengarah NFCC sendiri.

Isu pelantikan Azam mula menjadi perhatian selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa kerajaan menjelaskan justifikasi melantik beliau ke dalam Lembaga Penasihat NFCC.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, pelantikan berkenaan menimbulkan persoalan memandangkan Azam masih dikaitkan dengan beberapa isu yang pernah mencetuskan perhatian umum dan sedang disiasat.

Sebelum ini, kepimpinan Azam di SPRM turut dibayangi beberapa kontroversi termasuk dakwaan pemilikan saham dalam syarikat tersenarai serta dakwaan membabitkan kerjasama pegawai SPRM dengan ahli perniagaan dalam usaha memaksa pengambilalihan syarikat korporat.

Bagaimanapun, Azam dan SPRM sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya semua dakwaan tersebut.

×