Niat seorang jururawat untuk berjimat dengan membeli ayam pada harga promosi RM5 bertukar menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan apabila wang simpanannya sebanyak RM6,770 lesap dipercayai akibat diperdaya sindiket penipuan dalam talian.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi semalam di rumahnya di Kampung Skio, Bau, Kuching, wanita berusia 49 tahun itu dikatakan tertarik dengan iklan jualan Ayam Fresh Premium pada harga murah yang muncul di Facebook.
Tawaran yang kelihatan seperti peluang penjimatan itu mendorong mangsa menghubungi individu yang mengiklankan produk berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp untuk membuat pembelian.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, mangsa pada mulanya diminta membuat pembayaran RM5 melalui pautan yang diberikan, namun transaksi itu gagal dilakukan.
“Kemudian mangsa diminta membuat pembayaran RM5 menerusi pautan yang diberikan, namun gagal berbuat demikian sebelum diarahkan memuat turun aplikasi dan membuat pembayaran secara manual menggunakan kaedah tunai semasa penghantaran (COD).
“Mangsa mengikut arahan diberikan termasuk memuat turun aplikasi berkenaan serta mengemas kini tetapan COD seperti diminta bagi melengkapkan proses pembelian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tanpa menyedari dirinya sedang diperdaya, mangsa mengikuti setiap arahan yang diberikan dengan harapan urusan pembelian ayam itu dapat diselesaikan.
Namun, keadaan berubah sejurus selepas itu apabila dia menerima mesej daripada sebuah bank yang memaklumkan akaunnya disekat sementara.
Mohd Haide berkata, semakan lanjut yang dibuat mangsa mendedahkan sesuatu yang lebih mengejutkan.
“Selepas membuat semakan, mangsa mendapati wang dalam akaunnya sudah dipindahkan ke akaun bank lain atas nama seorang lelaki,” katanya.
Lebih mengecewakan, ayam yang dipesan langsung tidak dihantar, manakala segala usaha menghubungi semula nombor telefon berkenaan gagal kerana tiada sebarang maklum balas diterima.
Menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan, wanita itu membuat laporan di Balai Polis Bau pada jam 4.11 petang semalam.
Menurut Mohd Haide, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau berkata, mangsa yang mengetahui peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) turut menghubungi talian 997 pada hari sama bagi membuat aduan berhubung kejadian itu.
KREDIT GAMBAR UTAMA: BERNAMA