Kerajaan Selangor memperuntukkan RM20 juta bagi memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) menerusi pelaksanaan Teraju Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS), sekali gus meningkatkan bekalan tenaga kerja mahir untuk industri strategik negeri.

Inisiatif itu turut menyasarkan pemberian pensijilan profesional dan kemahiran kepada 2,000 peserta, termasuk latihan berkaitan kecerdasan buatan (AI) untuk guru di Selangor.

Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha berkenaan dilaksanakan bagi menangani isu ketidakpadanan antara kemahiran graduan dengan keperluan sebenar pasaran pekerjaan.

“Di negeri Selangor, Pusat Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) menjadi pusat utama menggerakkan tawaran program TVET dengan beberapa program khusus yang turut melibatkan mahasiswa Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Selangor (UIS).

“Justeru, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh usaha pembangunan modal insan melalui inisiatif Teraju IKTISASS,” katanya ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 pada Sidang Khas Dewan Negeri Selangor, Jumaat lalu.

Menurut Amirudin, antara komponen utama program berkenaan ialah penawaran kursus pensijilan AI di bawah Google kepada 500 guru bagi mempertingkatkan penguasaan teknologi tersebut dalam sektor pendidikan.

Selain itu, seramai 500 peserta akan menerima pensijilan profesional industri, manakala 1,000 lagi bakal memperoleh Pensijilan Kemahiran Malaysia bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam sektor pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Usaha Teraju IKTISASS ini dihasratkan untuk meramaikan golongan profesional di Selangor mengikut industri penting dan untuk itu RM20 juta diperuntukkan,” katanya.

IKTISASS merupakan program tajaan penuh dan bantuan kewangan Kerajaan Negeri bagi bidang TVET yang dilaksanakan menerusi kerjasama STDC, Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Selangor (UIS).

Inisiatif tersebut merupakan antara 15 program baharu yang diumumkan di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 bernilai RM209.26 juta.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan keseluruhan RM355.06 juta menerusi Fasa 1 dan Fasa 2 pakej berkenaan bagi mengurangkan kesan krisis bekalan global susulan konflik di Asia Barat.

KREDIT GAMBAR UTAMA: MEDIA SELANGOR

×