Kerajaan Selangor menambah peruntukan RM5 juta bagi memperluaskan program MamaKerja, sekali gus membolehkan 5,000 lagi ibu bekerja menerima insentif RM1,000 untuk membantu menampung kos penjagaan anak.
Tambahan peruntukan itu diumumkan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 dan menjadikan keseluruhan dana program berkenaan meningkat kepada RM10 juta dengan manfaat kepada 10,000 penerima di seluruh negeri.
Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah tersebut diambil bagi membantu golongan wanita yang mahu terus berada dalam pasaran pekerjaan walaupun berdepan peningkatan kos sara hidup dan cabaran ekonomi semasa.
“Dengan mengambil kira keadaan sedia ada apabila kita berdepan krisis yang mampu memberikan kesan kepada ekonomi, Kerajaan Negeri akan menambah peruntukan sebanyak RM5 juta.
“Ia supaya jumlah RM10 juta dapat memberikan manfaat RM1,000 kepada setiap wanita yang mempunyai anak berumur enam tahun dan ke bawah yang perlu duduk di taska ataupun pusat penjagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor, Jumaat lalu.
Menurut Amirudin, inisiatif yang diperkenalkan menerusi Belanjawan Selangor 2026 itu bertujuan mengiktiraf peranan wanita sebagai tulang belakang keluarga selain menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri melalui penyertaan mereka dalam sektor pekerjaan.
Bantuan sekali bayar RM1,000 tersebut akan disalurkan menerusi aplikasi Nine sebagai sokongan kepada ibu bekerja yang mempunyai anak kecil dan memerlukan khidmat taska atau pusat jagaan.
Program MamaKerja merupakan antara komitmen yang terkandung dalam Tawaran Kita Selangor yang dijanjikan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Negeri Selangor 2023.
Bagi melayakkan diri, pemohon mestilah wanita bekerja yang mempunyai sehingga tiga orang anak berusia bawah 12 tahun dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM8,000 sebulan.
Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM1.5 juta bagi melaksanakan Program Kerjaya Selangor yang menyasarkan penglibatan 30,000 pencari kerja tahun ini.
Amirudin berkata program berkenaan akan dilaksanakan secara lebih komprehensif dan bersasar, khususnya bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan sepanjang tahun ini.
“Selain program Transisi Kerjaya PLATS, Kerajaan Negeri akan menganjurkan Program Kerjaya Selangor yang lebih komprehensif dan bersasar yang mengutamakan pekerja yang hilang pekerjaan tahun ini.
“Dengan kerjasama agensi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan syarikat peruncitan, pembuatan dan logistik, Kerajaan Negeri akan melibatkan pihak berkepentingan serta pekerja yang hilang pekerjaan supaya kemahiran pekerja dapat dipadankan dengan industri yang memerlukan kepakaran sama,” katanya.
Kedua-dua inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada 15 langkah baharu di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 bernilai RM209.26 juta.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM145.8 juta menerusi Fasa 1 yang merangkumi tujuh inisiatif dan sedang dilaksanakan.
KREDIT GAMBAR UTAMA: EIGHT