Pengusaha pelancongan di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu berdepan tekanan kos operasi yang meningkat antara 50 hingga 70 peratus susulan kebergantungan penuh kepada generator diesel dan petrol sebagai sumber bekalan elektrik.

Sehubungan itu Persatuan Pengusaha Pelancongan Pulau Perhentian (5P) memohon Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempertimbangkan akses kepada Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) khusus bagi kegunaan generator di pulau berkenaan.

Pengerusinya, Rafizah Munir berkata, kenaikan kos bahan api memberi kesan langsung kepada kelangsungan operasi pengusaha di kawasan luar grid seperti Pulau Perhentian.

“Bahan api bukan sekadar kos operasi bagi kami, ia adalah keperluan asas untuk memastikan kehidupan di pulau ini dapat diteruskan.

“Kami bergantung sepenuhnya kepada generator untuk bekalan elektrik. Kenaikan harga yang berlaku sekarang amat membebankan dan jika berterusan, kami mungkin terpaksa menaikkan harga atau mengecilkan operasi,” katanya.

Menurut Rafizah, tekanan kos itu bukan sahaja menjejaskan pengusaha, malah berisiko mengganggu keseluruhan ekosistem pelancongan termasuk peluang pekerjaan komuniti setempat seperti pekerja hotel, pengusaha bot dan peniaga kecil.

Tegasnya, tanpa sokongan dasar yang bersasar mengambil kira kekangan infrastruktur di pulau, daya saing destinasi berkenaan boleh terjejas sekali gus memberi impak kepada usaha negara menjayakan Visit Malaysia 2026 (VM2026).

“Dengan VM2026 yang kini sedang berlangsung, kami berharap isu ini dapat diberi perhatian segera. Menyokong destinasi seperti Pulau Perhentian bermakna menyokong komuniti dan ekonomi yang bergantung kepadanya,” kata Rafizah.

Persatuan itu turut mencadangkan agar kerajaan meneliti mekanisme khas atau pengecualian bersasar dalam kerangka subsidi sedia ada bagi membantu pengusaha di kawasan pulau yang tidak mempunyai alternatif bekalan elektrik.

Sementara itu, pemilik Crocodile Rock Villas, Sabri Hamdan berpandangan sokongan subsidi masih diperlukan sehingga infrastruktur tenaga lebih stabil disediakan di pulau tersebut.

“Pada pandangan saya, mungkin sudah jelas bahawa kami masih memerlukan sokongan subsidi ini sehinggalah pulau ini dibekalkan sepenuhnya oleh pembekal tenaga nasional,” katanya.

×