Kerajaan akan melaksanakan program Budi Madani RON95 (BUDI95) bermula 30 September ini dengan menetapkan siling subsidi petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan bagi setiap rakyat Malaysia. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah ini diambil bagi memastikan subsidi diagihkan secara adil kepada pengguna yang layak dan pada masa sama mengelakkan ketirisan.
Namun, beliau menjelaskan pemandu e-hailing dikecualikan daripada had tersebut dan boleh memohon kuota lebih tinggi mengikut keperluan masing-masing.
Dalam pengumuman itu, Anwar turut memaklumkan harga RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula tarikh pelaksanaan, manakala bukan warganegara akan dikenakan harga RM2.60 seliter. Menurutnya, tiada pendaftaran khas diperlukan untuk menyertai program BUDI95 kerana pengguna hanya perlu menggunakan MyKad ketika membuat pembelian bagi menikmati harga bersubsidi.
Proses pembelian juga kekal hampir sama seperti sedia ada, dengan tambahan satu langkah pengesahan MyKad sebelum pembayaran dibuat. Untuk mengurangkan kesesakan, pembaca MyKad akan disediakan di pam minyak serta di dalam kedai.
Bagi mereka yang lebih selesa dengan teknologi digital, terdapat juga pilihan alternatif seperti penggunaan Touch ’n Go eWallet atau aplikasi syarikat minyak seperti Setel, sekali gus membolehkan transaksi dilakukan tanpa perlu membawa MyKad setiap kali.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, mekanisme baharu ini akan memastikan subsidi benar-benar dinikmati rakyat Malaysia dan menutup ruang penyalahgunaan yang berlaku sebelum ini.