Harga RON95 Turun RM1.99 Seliter Hujung Bulan Ini

Harga petrol RON95 dijangka turun kepada RM1.99 seliter pada hujung bulan ini melalui pelaksanaan subsidi bersasar. Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata langkah ini adalah sebahagian daripada janji Perdana Menteri kepada rakyat Malaysia untuk meringankan beban kos sara hidup. Walaupun mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan, Saifuddin menegaskan bahawa Perdana Menteri tetap konsisten dalam menunaikan janji yang dibuat.

“Alhamdulillah, hujung bulan ini rakyat akan dapat menikmati harga petrol RON95 serendah RM1.99 seliter. Ini bukti Perdana Menteri adalah seorang yang berpegang pada kata-kata dan tidak mengabaikan janji yang dibuat kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya memastikan cip MyKAD berfungsi dengan baik. Ini kerana sistem subsidi bersasar memerlukan pengesahan identiti melalui MyKAD ketika mengisi minyak di stesen petrol.

“Kalau cip rosak atau tidak boleh dibaca, jangan tunggu saat akhir. Pergi ke mana-mana pejabat atau kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara. Prosesnya mudah, cepat, dan biasanya siap pada hari yang sama,” jelasnya.

Beliau turut menasihati rakyat supaya membuat semakan awal supaya tidak menghadapi masalah apabila subsidi petrol ini dilaksanakan sepenuhnya.

Menurut Saifuddin lagi, pelaksanaan subsidi bersasar ini membuktikan bahawa Kerajaan MADANI kekal komited untuk membantu rakyat, menjaga kebajikan semua lapisan masyarakat serta memastikan ekonomi negara terus makmur dengan penuh integriti dan tanggungjawab.

“Ini adalah salah satu daripada langkah kerajaan untuk memastikan hasil negara dapat disalurkan terus kepada rakyat yang layak, bukannya kepada pihak yang tidak sepatutnya. Subsidi bersasar ini diharap dapat mengurangkan tekanan kos hidup rakyat Malaysia,” tambahnya.

×