Bayangkan berlaku bencana besar dan kecemasan sehingga menjejaskan liputan infrastruktur komunikasi di lokasi kejadian atau di kawasan yang sememangnya tiada kemudahan berkenaan.
Sudah tentu pasukan penyelamat, penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berdepan kesulitan untuk berkoordinasi dengan pantas sehingga menjejaskan misi menyelamat dan penyampaian maklumat kepada masyarakat.
Justeru bagi memastikan kesinambungan komunikasi dalam situasi genting, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tampil dengan inisiatif Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) berasaskan kenderaan.
Kenderaan PRIME itu menggunakan gabungan pelbagai teknologi terkini, termasuk komunikasi satelit untuk kawasan tanpa liputan selular, rangkaian selular (cellular network) mudah alih dan radio dua-hala (two-way radio) untuk kegunaan pasukan operasi.
Ia juga dilengkapi Wi-Fi hotspot untuk akses Internet pantas dan dron bagi memperluaskan liputan dan menyampaikan maklumat secara terus di lokasi kritikal.

Dengan kecanggihan itu, PRIME boleh digunakan untuk menyediakan rangkaian komunikasi sementara di kawasan terjejas, menyokong operasi penyelamatan dan koordinasi agensi keselamatan, menyalurkan maklumat sahih kepada masyarakat setempat dan membantu agihan bantuan kemanusiaan dengan lebih teratur.
Kewujudan PRIME menyaksikan Malaysia kini mempunyai infrastruktur komunikasi mobil yang mampu diatur gerak ke kawasan terputus rangkaian.
Ini memastikan tiada jurang komunikasi, membolehkan tindakan lebih cepat, terancang dan berkesan bagi menyelamatkan nyawa dan harta benda.
Dengan kemampuannya, penggunaan PRIME diberi keutamaan kepada agensi penyelamat dan penguatkuasaan seperti NADMA, PDRM, Bomba, dan ATM.

Bagi mengoptimumkan penggunaan PRIME, ia turut dimanfaatkan di luar waktu bencana untuk menyokong program outreach dan literasi digital di kawasan luar bandar dan mengukuhkan komunikasi semasa acara berskala besar yang memerlukan sistem tambahan.
Ia juga boleh menjadi platform sokongan kepada pusat komuniti digital NADI (National Information Dissemination Centre) dengan menyediakan akses Internet dan siaran maklumat bergerak, terutama di kawasan pedalaman.
Ia sekali gus membolehkan komuniti setempat mendapat maklumat tepat serta kemudahan komunikasi digital yang lebih baik.
Setakat ini, dua unit PRIME telah diwujudkan iaitu untuk kegunaan di Semenanjung dan Sabah manakala untuk Sarawak mula beroperasi Oktober ini.
Maklumat lanjut berkenaan PRIME boleh diperoleh melalui laman web rasmi MCMC: www.mcmc.gov.my, e-mel rasmi: [email protected] dan Pusat Panggilan MCMC: 1800-188-030.