RUU PSB Bukan Rampas Tanah, Tapi Tingkatkan Kualiti Hidup

Kerajaan mahu rampas tanah rizab Melayu, mengusir orang Melayu daripada kawasan bandar dan lebih mengutamakan pemaju berbanding rakyat.

Itu sebahagian daripada naratif kelompok yang menentang Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang menjadi topik hangat sejak beberapa minggu lalu.

Namun daripada kaca mata seorang perancang bandar, RUU itu adalah instrumen penting yang tidak hanya menukar rupa fizikal bandar, tetapi secara langsung meningkatkan taraf hidup penduduk.

Pakar Perancang Bandar dan Wilayah dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Ts. Dr. Mohammad Mujaheed Hassan berkata, tanpa akta khusus itu, adalah mustahil penduduk mendapat persekitaran hidup yang lebih sihat, selamat dan berkualiti.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah (Jaringan Antarabangsa) Pusat Antarabangsa PUTRA (i-PUTRA) berkata, bagi mereka yang tinggal di kawasan uzur atau padat, akta berkenaan membolehkan penyediaan rumah baharu yang lebih selesa, selamat dan mampu milik, lengkap dengan kemudahan moden.

“Selain itu, RUU PSB memberi ruang untuk menaik taraf  infrastruktur asas seperti jalan raya, sistem bekalan air, pembetungan, pengangkutan awam dan utiliti bandar yang selama ini tidak mencukupi.

Mohammad Mujaheed Hassan

“Lebih penting lagi, ia memastikan setiap projek pembangunan semula turut menyediakan ruang hijau, kawasan rekreasi, sekolah, klinik dan kemudahan komuniti yang sebelum ini sering diabaikan.

“Dengan pendekatan ini, penduduk bukan sahaja menikmati tempat tinggal yang lebih baik, malah mendapat persekitaran hidup yang lebih sihat, selamat dan berkualiti, sesuatu yang mustahil dicapai tanpa rangka kerja undang-undang yang jelas seperti RUU PSB,” katanya kepada Rotikaya.

Sementara itu, Dr. Mohammad Mujaheed menjelaskan RUU PSB penting untuk masa depan bandar di negara ini kerana ia berupaya mengatasi kekangan sedia ada seperti pecahan milik yang kompleks, bangunan lama berisiko, infrastruktur lapuk dan kegagalan penyelenggaraan dengan menyediakan proses jelas, kuasa dan insentif untuk meremajakan bandar.

Katanya, akta itu akan menjadi asas undang-undang yang kukuh untuk memastikan bandar-bandar Malaysia bukan sahaja kekal relevan dan berdaya saing, tetapi juga mampu berfungsi sebagai bandar mapan, inklusif dan berdaya huni untuk generasi akan datang.

“Di sinilah kepentingan RUU PSB. Akta ini menyediakan kerangka undang-undang khusus untuk mengatasi pelbagai kekangan sedia ada seperti isu pemilikan tanah yang berpecah-belah, proses kelulusan yang rumit serta ketiadaan kuasa jelas untuk melaksanakan pembangunan semula secara menyeluruh,” katanya.

Berkenaan kebajikan penduduk asal yang sering dibangkitkan, Dr. Mohammad Mujaheed perkara itu paling penting dalam pembangunan semula bandar dan RUU PSB mesti dirangka supaya penduduk asal tidak terpinggir, sebaliknya menjadi penerima manfaat utama.

Katanya, antara mekanisme yang sering dicadangkan ialah penyediaan rumah ganti yang setara atau lebih baik, serta skim pemilikan bersama atau sewa-beli supaya mereka kekal mampu tinggal di kawasan yang sama selepas pembangunan semula.

“Selain itu, terdapat juga cadangan untuk mewujudkan hak kembali (right-to-return) di bawah RUU PSB iaitu memberi peluang kepada penduduk asal untuk kembali ke projek baharu dengan syarat yang adil.

“Walaupun perkara ini masih bergantung pada peruntukan akhir akta, ia merupakan prinsip yang selaras dengan amalan antarabangsa seperti di Hong Kong dan Korea Selatan.

“Bagi memastikan proses lebih adil, penduduk perlu diberikan penempatan sementara yang sesuai sepanjang tempoh pembinaan agar komuniti tidak terpisah,” tegasnya.

Berkenaan cabaran dalam pelaksaan pembangunan semula, Dr. Mohammad Mujaheed berkata kerajaan perlu memastikan RUU PSB dilaksanakan dengan kerangka undang-undang yang jelas, mekanisme pampasan dan penggantian unit yang adil, serta proses kelulusan yang lebih pantas.

Katanya, penduduk mesti diyakinkan melalui libat urus berterusan dan jaminan hak kembali manakala dari segi kewangan, model kerjasama awam-swasta (PPP) boleh digunakan untuk mengurangkan beban kerajaan.

“Paling penting, RUU PSB perlu disokong oleh tadbir urus yang telus dan penyelarasan yang mantap antara semua pihak. Hanya dengan cara itu pembangunan semula benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, bukan sekadar keuntungan komersial semata-mata,” katanya.

Bacaan kali kedua RUU PSB dijadualkan berlangsung pada 6 Oktober ini, sebelum diteruskan dengan bacaan kali ketiga bersama pindaan yang dipersetujui selepas mendengar pandangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Jika diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, RUU ini dijangka boleh diwartakan selewat-lewatnya pada 1 Januari 2026.

Sebanyak 108 sesi libat urus dan penerangan RUU PSB telah diadakan di samping lawatan lawatan tapak yang menyaksikan Ahli Parlimen Pembangkang turut dijemput namun malangnya tiada seorang pun hadir.

Pelik tapi benar, di sebalik tentangan kuat pembangkang terhadap RUU itu dengan naratif-naratif menakutkan, kerajaan negeri yang dikuasai mereka telah mewartakan tapak untuk tujuan PSB iaitu Terengganu (22 tapak), Kedah (55) dan Kelantan (2).

×