Semangat patriotik rakyat Malaysia tidak pernah luntur.
Buktinya, sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pagi semalam dibanjiri lebih 100,000 pengunjung sekali gus menjadikannya sambutan ulang tahun kemerdekaan yang paling meriah dalam sejarah negara.
Keterujaan orang ramai terserlah apabila Dataran Putrajaya dipenuhi lautan manusia berbilang bangsa sejak malam sebelumnya untuk meraikan Hari Kebangsaan 2025 bertemakan “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni” dalam suasana penuh bangga dan kasih kepada negara.
Sambutan gilang-gemilang itu bermula sejurus keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang membuat kejutan dengan memandu sendiri kereta Proton Satria Neo dan disambut dengan sorakan serta tepukan oleh pengunjung yang hadir.

Saat Jalur Gemilang dinaikkan tepat jam 8 pagi, ribuan suara menyanyikan Negaraku dengan penuh bangga. Detik itu, siapa pun yang hadir pasti meremang bulu roma.
Dentuman 14 das meriam pula seolah mengingatkan kita bahawa kemerdekaan ini dibayar dengan darah dan keringat.
Perarakan selepas itu benar-benar memukau. 81 kontinjen melangkah gagah, diiringi muzik kawad yang membangkitkan semangat.
Dari pasukan beruniform hinggalah wakil masyarakat, semuanya tampil dengan bangga menunjukkan identiti Malaysia.

Tidak ketinggalan, persembahan formasi grafik manusia oleh ribuan pelajar yang mencuri perhatian sehingga mendapat pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dengan disiplin luar biasa, mereka membentuk frasa “Daulat Tuanku” dan “Malaysia MADANI”, diselang-seli dengan alunan lagu patriotik oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Aset darat dan udara turut dipamerkan. Deruman jet pejuang diketuai oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris yang memecut di langit Putrajaya membuatkan orang ramai mendongak kagum.
Gabungan helikopter, kenderaan perisai, serta perarakan haiwan perkhidmatan melengkapkan lagi persembahan ketenteraan yang penuh wibawa.

Selepas majlis rasmi berakhir, orang ramai bertumpu pula ke Monumen Alaf Baru untuk menghadiri RIUH Merdeka yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi agensinya, MyCreative Ventures.
RIUH Merdeka menampilkan persembahan tanpa henti selama 30 jam yang menggabungkan muzik, seni budaya dan makanan jalanan bagi memastikan Putrajaya terus hidup sepanjang hari dengan pesta rakyat penuh harmoni.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turut mengucapkan terima kasih dan memuji kesanggupan orang ramai berkumpul di Dataran Putrajaya sejak Sabtu malam.
Beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025) berkata, pelbagai kemudahan ditambah baik termasuk menyediakan lebih banyak tempat duduk bertingkat bagi memastikan keselesaan pengunjung.
“Kita dapati ada yang datang berkampung di sini sejak jam 5 petang semalam (Sabtu) dan ada yang datang malam dan awal pagi tadi (Ahad),” katanya kepada media, semalam.

Pujian juga perlu diberikan kepada Kementerian Komunikasi dengan sokongan agensi-agensi kerajaan kerana berjaya menyusun sambutan berskala besar ini dengan jayanya.
Bukan mudah menguruskan 81 kontinjen melibatkan 14,062 peserta dan lebih 100,000 pengunjung, namun segalanya berjalan teratur dan penuh warna.
Inilah contoh terbaik bagaimana sebuah kementerian mampu menyantuni rakyat melalui acara yang menyatukan jiwa bangsa.
Lebih penting, sambutan ini mengingatkan kita bahawa kemerdekaan bukan sekadar perayaan tahunan tetapi simbol pengorbanan, perpaduan dan harapan masa depan.
Tahniah Kementerian Komunikasi selaku penggerak utama sambutan. Merdeka! Merdeka! Merdeka!