Boikot Starbucks: Berjaya Food Terus Rugi RM292 Juta

Berjaya Food Bhd, pengendali rangkaian Starbucks di Malaysia, mencatatkan kerugian bersih berjumlah RM292 juta bagi tahun kewangan berakhir Jun, meningkat lebih tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Menurut laporan Bloomberg, hasil syarikat merosot 36 peratus tahun ke tahun kepada RM477 juta, dipengaruhi sentimen berterusan berkaitan konflik di Timur Tengah yang menjejaskan corak pasaran serta perbelanjaan pengguna.

Syarikat itu turut mengecilkan jumlah cawangan Starbucks sepanjang tahun kewangan tersebut, yang membawa kepada caj rosot nilai melibatkan kedai, peralatan dan aset hak guna. Caj tersebut melonjak hampir enam kali ganda kepada RM152.8 juta.

Beberapa jenama makanan segera dari Amerika Syarikat, termasuk Starbucks, KFC dan Pizza Hut, terus menerima kesan boikot di Malaysia dan Indonesia, apabila pengguna mengelak premis yang dilihat mempunyai kaitan dengan pendirian Barat dalam konflik Gaza.

Ketua pegawai eksekutif Starbucks, Brian Niccol, bagaimanapun menolak dakwaan tersebut dengan menyatakan ia “tidak berasaskan fakta atau kebenaran.”

×