Sejak 2022 hingga Mei tahun ini, Kementerian Pendidikan (KPM) merekodkan seramai 19,179 guru sekolah rendah dan menengah memilih untuk bersara awal. Pada 2022, jumlahnya ialah 5,306 orang, meningkat kepada 6,394 pada 2023, manakala 5,082 guru pula berbuat demikian pada 2024. Sehingga Mei 2025, seramai 2,397 guru turut mengambil langkah sama.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, menjelaskan bahawa faktor utama ialah rasa tidak lagi berminat menjadi pendidik, melibatkan 67.44 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Selain itu, 17.43 peratus guru memberi alasan masalah keluarga, 7.69 peratus mengalami masalah kesihatan, 5.3 peratus menyatakan beban kerja, manakala 2.08 peratus lagi menghadapi masalah peribadi.

Bagi menangani isu kekurangan guru, KPM melaksanakan pengambilan guru tetap sebanyak dua kali setahun dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) pula membuka permohonan sepanjang tahun.
Selain itu, kementerian memperkenalkan Modul Tadbir Urus Sekolah (MySG) sejak 2021 serta membangunkan dokumen Deskripsi Tugas (JD) sejak 2016 bagi memperjelaskan tanggungjawab guru.
KPM juga melantik pengawas peperiksaan SPM dalam kalangan bukan guru untuk mengurangkan beban, meskipun sasaran 20 peratus belum dicapai sepenuhnya.
Tahun ini, langkah baharu diambil dengan menempatkan pembantu guru MySTEP di sekolah yang mempunyai lebih 1,500 murid, termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas, bagi membantu kerja pentadbiran dan meringankan tugas guru.