Fan Bingbing Dikurnia Gelaran Datuk, Mahu Kembali Promosi Melaka

Pelakon terkenal dari China, Fan Bingbing dianugerahkan gelaran Datuk pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka semalam.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata penganugerahan itu sebagai tanda penghargaan atas sumbangan Bingbing dalam mempromosikan Melaka di peringkat antarabangsa.

“Beliau telah membantu melonjakkan Melaka sebagai destinasi pelancongan global, dan kami amat menghargai usahanya,” katanya.

Pada Mei tahun lalu, Bingbing dilantik sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka. Hanya dalam tempoh tiga bulan, usaha promosi itu berjaya mencatatkan lebih 1.2 bilion carian dalam talian, termasuk 320 juta berkaitan Melaka dan 800 juta atas nama beliau sendiri di platform seperti WeChat dan Weibo.

Menurut laporan Harian Metro, Bingbing dijangka kembali ke Melaka bulan depan sempena penganjuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang berlangsung hujung September.

“Sudah tentu saya akan kembali ke Melaka. Banyak lagi usaha baharu dalam sektor pelancongan yang akan saya kongsikan,” ujar Bingbing.

Istiadat itu diadakan bersempena Sambutan Hari Jadi ke-76 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, di Seri Negeri, Ayer Keroh.

×