Hampir 500,000 pengguna di Kelantan mempunyai tunggakan bil elektrik berjumlah lebih RM200 juta setakat Jun lalu, menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Menurut kementerian itu, seramai 492,174 pengguna akaun elektrik di Kelantan secara keseluruhan berhutang sebanyak RM229 juta kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), dengan tunggakan tertinggi datang daripada pengguna domestik iaitu 411,780 akaun melibatkan jumlah RM114 juta.
Jumlah itu diikuti oleh pengguna bukan domestik (komersial dan industri) dengan 80,196 akaun mempunyai tunggakan berjumlah RM53 juta.
Baki tunggakan pula melibatkan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dengan 198 akaun berjumlah RM61 juta.
Dalam jawapan bertulis Parlimen bertarikh 7 Ogos, kementerian memaklumkan tunggakan bil elektrik di negeri itu mencatat penurunan kecil sebanyak RM4.33 juta sejak Disember lalu.
Kementerian menjelaskan, antara punca utama tunggakan ialah penyewa rumah berpindah tanpa melangsaikan bil, menyebabkan beban hutang terpaksa ditanggung oleh pemilik premis.
“TNB bersama Petra kekal komited membantu pengguna menyelesaikan tunggakan melalui pendekatan mesra pelanggan, termasuk menawarkan pelan ansuran fleksibel.
“Tindakan penguatkuasaan seperti pemotongan bekalan hanya dilaksanakan sebagai langkah terakhir selepas semua rundingan gagal,” katanya.
Kementerian turut menasihatkan pengguna yang terlibat supaya segera menghubungi TNB untuk membincangkan penyelesaian pembayaran dan mengelakkan pemotongan bekalan atau tindakan undang-undang.
Selain itu, kementerian memaklumkan pihaknya akan terus mempergiat kempen kesedaran bagi menggalakkan pembayaran bil secara konsisten serta meningkatkan kefahaman pengguna tentang tanggungjawab mereka terhadap bil masing-masing.
“Kerjasama dan rasa tanggungjawab daripada semua pihak amat penting bagi memastikan isu tunggakan bil elektrik dapat dikawal.
“Usaha bersepadu antara pengguna, pihak berkuasa tempatan, pemilik premis dan TNB akan membantu memastikan sistem tenaga kita kekal stabil, lestari dan adil untuk semua,” katanya.
Perkara itu dimaklumkan susulan soalan Zahari Kechik (Bebas–Jeli) yang ingin mengetahui jumlah pengguna di Kelantan yang mempunyai tunggakan bil elektrik.
Sumber: The Star