Berhati-hati! Jangan jadi mangsa scammer bantuan SARA RM100 – PDRM

Menjelang pengagihan bantuan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) one-off RM100 bermula 31 Ogos ini, polis mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa sindiket penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata pihaknya memandang serius kemungkinan berlaku penipuan sedemikian walaupun belum menerima sebarang laporan berkaitan sindiket seumpamanya sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya menjangka kegiatan sedemikian akan kembali aktif memperdaya orang ramai untuk menyerahkan maklumat peribadi dan perbankan atas talian kononnya untuk pengesahan bantuan.

Kebiasaannya kata beliau, sindiket sedemikian menyamar sebagai wakil agensi kerajaan melalui kaedah panggilan telefon atau menghantar mesej palsu atau pautan phishing yang kelihatan sah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau WhatsApp.

“Sebaik sahaja maklumat seperti nombor akaun bank, MyKad atau kod OTP diperoleh, penjenayah akan memindahkan wang tanpa disedari pemilik akaun,” katanya.

Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian bantuan tunai SARA RM100 secara one-off kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas melibatkan peruntukan RM2 bilion.

Bantuan SARA yang memberi manfaat kepada 22 juta waganegara itu boleh disemak dan diguna bermula 31 Ogos sehingga 31 Disember tahun ini.

Rusdi sehubungan itu menasihatkan orang ramai sentiasa berhati-hati dan tidak terpedaya apabila individu tidak dikenali meminta maklumat peribadi dan kewangan mereka.

Tegasnya, apa jua bantuan kerajaan termasuk SARA mestilah dirujuk kepada saluran rasmi seperti laman web kementerian atau agensi yang menguruskan bantuan tersebut.

“Jangan mudah percaya dengan panggilan, mesej atau pautan yang mendakwa daripada agensi kerajaan yang menawarkan bantuan.

“Jangan sesekali menekan pautan yang mencurigakan atau mengisi maklumat peribadi di laman web yang tidak disahkan.

“Orang ramai disaran menyemak dengan teliti syarat permohonan, kelayakan dan pelaksanaan bantuan sebelum membuat apa-apa tindakan,” tegasnya.  

×