Pelakon Hariz Handam memohon maaf susulan tular video memaparkan aktres Nelydia Senrose memeluk tangannya tanpa sengaja ketika menaiki kereta kabel di Pulau Langkawi.
Memetik Oh Bulan, Hariz berkata tujuan dia memuat naik video berkenaan bagi mempromosikan drama terbaharu lakonan mereka berjudul Seindah Hujan Cinta, namun tidak sangka dikritik oleh netizen.
BACA: Gayat Naik Cable Car, Nelydia Senrose Peluk Tangan Hariz Hamdan Dikecam
Bagaimanapun, Hariz berkata dia tiada niat untuk mencetuskan isu serta mengambil tanggugjawab terhadap kekecohan berkenaan serta meminta netizen berhenti mengecam Nelydia.
“Saya nak minta maaf jika video yang saya kongsikan itu mencetuskan kontroversi. Tiada niat pun untuk cetuskan isu. Itu sekadar kenangan bersama kawan-kawan serta sebahagian promosi naskhah itu.
“Salah tetap salah. Apa yang berlaku tidak sepatutnya terjadi dan saya akan pastikan perkara sebegini tidak berulang lagi. Saya juga minta orang ramai berhenti mengecam Nelydia kerana reaksi itu berlaku secara spontan,” katanya.
Sementara itu, Hariz berkata situasi berlaku secara tiba-tiba apabila Nelydia panik semasa berada dalam kereta kabel dan dia menganggap aktres tersebut seperti kakak.
“Mungkin pada saat itu, dia rasa gugup dan panik, jadi dia tak sedar apa yang dia lakukan. Disebabkan panik, dia peluk lengan saya. Saya pun tak salahkan dia. Bila seseorang panik, kita tak tahu macam mana mereka akan bertindak.
“Saya anggap dia macam kakak kerana jarak usia kami agak jauh. Saya baru 23 tahun, manakala dia pula 31 tahun. Jadi saya hanya cuba tenangkan dia,” katanya.
Sumber: Oh Bulan