Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tidak pernah meninggalkan tanggungjawabnya dalam isu dalaman bola sepak negara, sebaliknya sentiasa menghormati prinsip autonomi badan sukan.
Setiausaha Politiknya, Yap Yee Vonne berkata, perkara dalaman bola sepak sepatutnya ditangani oleh FAM dan bukannya Menteri.
Beliau berkata, statut FAM dalam Perkara 4 dengan jelas menyatakan badan itu hendaklah kekal bebas dan mengelakkan sebarang campur tangan politik yang tidak wajar.
Justeru katanya, FAM hendaklah menguruskan hal ehwalnya secara bebas dan memastikan operasinya tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak ketiga.
“Perkara 14 (1)(i) Statut FIFA pula menyatakan: Menguruskan hal ehwal mereka secara bebas dan memastikan hal ehwal mereka tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak ketiga, mengikut Perkara 19 Statut ini.
“Perkara 19 adalah berkaitan kebebasan persatuan ahli dan badannya di mana setiap persatuan ahli hendaklah menguruskan hal ehwalnya secara bebas dan tanpa pengaruh yang tidak wajar daripada mana-mana pihak ketiga,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjawab gesaaan Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong agar Hannah meletakkan jawatan berikutan isu dalaman membabitkan FAM yang dibangkitkan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski.
Mengulas lanjut, Yap menjelaskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengambil inisiatif menubuhkan Jawatankuasa Pertikaian Sukan kerana Kerajaan MADANI komited menyediakan saluran penyelesaian untuk semua sukan, bukan hanya bola sepak.
Beliau berkata, jika semuanya perlu diselesaikan oleh Menteri, lebih baik semua persatuan dibubar dan diserahkan kepada Putrajaya.
“Kenyataan Neow seolah-olah mencadangkan Menteri juga harus menjadi pengurus pasukan, jurulatih dan penasihat psikologi semua dalam satu, bahkan mungkin seorang atlet.
“Mungkin Neow lebih selesa dengan gaya lama di mana Menteri boleh mengeluarkan pesanan atas ke bawah dan semua orang mengikut seperti boneka. Maaf Neow, hari-hari itu tidak akan kembali di bawah kepimpinan Hannah,” tegasnya.
Sementara itu Yap menjelaskan KBS bukan sahaja muncul apabila trofi diangkat, sebaliknya telah melaksanakan dasar secara konsisten dan menyediakan sokongan yang menghasilkan kesan jangka panjang.
Katanya, KBS bekerjasama rapat dengan persatuan sukan, menyediakan sokongan dana dan bantuan merentasi semua peringkat daripada pembangunan akar umbi kepada prestasi elit.
“Melalui kerjasama strategik dengan agensi seperti PSM, ISN dan MSN, kami menyampaikan program, kemudahan dan perkhidmatan sokongan profesional yang memperkasakan atlet dan memartabatkan sukan Malaysia.
“Pembaharuan utama yang diperkenalkan oleh Hannah ialah pelaksanaan kontrak berbayar untuk atlet Podium di bawah MSN, kini termasuk caruman KWSP dan PERKESO mulai 1 Januari 2024.
“Walaupun ia mungkin kelihatan seperti dasar asas, ini menandakan kali pertama langkah sedemikian diambil di bawah Kerajaan MADANI,” katanya.
Berkenaan dakwaan tiada pencapaian membanggakan oleh kontinjen Malaysia, Yap menempelak Neow supaya memeriksa fakta sebelum mengkritik.

Antaranya kata Yap, pasukan negara menamatkan kemarau selama 18 tahun dengan memenangi beregu lelaki pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025; kejuaraan Piala Dunia Sepaktakraw dan Piala Asia Sepaktakraw pada 2024 dan 2025 dan dinobatkan sebagai juara dunia dalam boling padang.
Disamping itu, pemain boling negara mencapai status juara dunia dalam boling tenpin antarabangsa dan pelumba muda, Hakim Danish Ramli terus menyinar di pentas Eropah, menjadi rakyat Malaysia pertama yang mencapai podium tujuh kali berturut-turut.
“Untuk menolak pencapaian ini dengan mendakwa tiada kemajuan oleh kontinjen Malaysia bukan sahaja tidak tepat, tetapi juga amat tidak adil terhadap dedikasi dan kerja keras atlet kita,” tegasnya.
Yap dalam pada itu menegaskan adalah lebih baik Neow berdiam diri jika jika tidak memahami struktur tadbir urus sukan.
“Sungguh membingungkan, Neow seorang Pegawai Khas kepada Menteri lain secara terang-terangan boleh melanggar peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan menuntut peletakan jawatan Menteri lain.
“Neow adalah manifestasi jelas personaliti berbelah bahagi MCA dalam Kerajaan MADANI hari ini,” tegasnya.