Prestasi Baik Dividen KWSP Seiring Pemulihan Ekonomi Negara

Kemampuan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengagihkan dividen 2024 pada kadar 6.3 peratus bagi simpanan Konvensional dan Shariah perlu diberi pujian yang tinggi.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, dividen itu adalah yang terbaik sejak lima tahun lalu manakala kadarnya lebih tinggi berbanding simpanan tetap (FD).

Katanya, pencapaian itu juga diraih sewaktu pasaran kewangan global sangat mencabar terutama selepas pandemik yang disusuli pelbagai peristiwa geopolitik dan perubahan drastik iklim dunia.

“Peningkatan kadar inflasi kini terkawal pada purata 2024 iaitu 1.8 peratus setahun, justeru pulangan bersih daripada dividen 6.3 peratus adalah 4.5 peratus jauh lebih tinggi dari simpanan tetap (FD) di institusi kewangan di Malaysia,” katanya kepada Rotikaya.

Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid

Pada Sabtu, KWSP mengumumkan dividen 6.3 peratus untuk simpanan Konvensional dan Shariah bagi 2024 melibatkan agihan sebanyak RM73.24 bilion.

Daripada jumlah itu, RM63.05 bilion diagihkan kepada simpanan Konvensional manakala bakinya sebanyak RM10.19 bilion untuk simpanan Shariah.

Mengulas lanjut, Dr Aimi Zulhazmi berkata, pencapaian KWSP itu adalah seiring dengan pemulihan ekonomi Malaysia yang menyaksikan pertumbuhaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 pada kadar 5.1 peratus.

Beliau berkata, laporan kewangan pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) juga positif dengan peningkatan pendapatan bersih, termasuklah sektor kewangan, pembinaan, telekomunikasi, teknologi dan lain-lain.

Katanya, lebihan berterusan dagangan negara yang dicatatkan oleh sektor eksport untuk tahun 2024 juga memastikan kedudukan Malaysia yang utuh di dalam rantaian nilai global pelbagai industri seperti elektrik dan elektronik, pertanian dan lain-lain sektor.

“Ini memastikan eksport negara cukup diversified dan mampan dalam ketidak tentuan global.

“Begitu juga pasaran kewangan negara terutama Bursa Malaysia yang mengalami peningkatan aliran masuk yang berterusan pada tahun 2024.

“Ia turut diperlihatkan oleh pengukuhan rezab bank negara dan aliran masuk pegangan asing ke atas bon kewangan terbitan kerajaan,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Aimi Zulhazmi menegaskan pulangan dividen KWSP yang tinggi pada 2024 amat bermakna kepada rakyat terutama dalam aspek kebergantungan hari tua mereka.

Katanya, begitu juga dengan ruang yang diberikan melalui akaun fleksibel yang membenarkan pengeluaran pada bila-bila masa.

“Cabaran kenaikan kos sara hidup terutama di kawasan bandar besar begitu nyata dengan memberi tekanan kepada kuasa beli pengguna yang semakin mengecil.

“Justeru sebarang pertambahan sumber kewangan amatlah dialukan oleh golongan pekerja B40 dan juga M40,” katanya.

Pulangan dividen yang lebih tinggi tahun ini amat bermakna kepada hari tua pencarum

Ditanya ramalannya tentang kemampuan KWSP meneruskan prestasi baik pada 2025, Dr Aimi Zulhazmi menjelaskan, mengimbangi kedua-dua bentuk pelaburan domestik dan luar negara tetap menjadi teras utama KWSP dalam mencari pulangan yang baik kepadanya.

Pun begitu katanya, pergolakan kewangan global menjadi cabaran utama pada tahun ini.


“Disinilah kebijaksanaan KWSP diperlukan dalam menanganinya,” katanya.

×