Watak Astrid yang dibawanya memberi impak besar, pelakon Sharifah Sakinah berkata ramai yang terkejut dengan kemampuannya menjayakan karakter tersebut.
Memetik Kosmo, Sakinah berkata mungkin kerana dia sudah terlalu lama melakonkan watak komedi sedangkan sebelum ini dia pernah lakonkan watak berat.
BACA: Sharifah Sakinah Mohon Maaf Dukung Anak Anjing
“Mungkin sebab sudah terlalu lama saya dengan watak komedi, jadi Astrid ini buka mata banyak pihak walhal saya pernah lakonkan karakter yang berat. Ini ibarat comeback saya untuk watak berat,” katanya.
Sementara itu, Sakinah mengakui dia menjaga batas dengan hero yang bergandingan dengannya terutama suami orang. Malah dia turut meminta dengan isteri mereka terlebih dahulu.
“Orang selalu nampak perangai saya gila-gila tapi hakikatnya saya sangat menjaga batas dalam lakonan. Kalau berlakon dengan suami orang, saya akan minta izin dengan isterinya terlebih dahulu. Barulah selesa untuk bekerjasama,” katanya.
Mengulas mengenai kehidupan peribadinya, Sakinah berkata hatinya masih terbuka untuk kembali mendirikan rumah tangga, dia selesa dengan kehidupan sekarang.
“Saya bukan jenis ikut pendapat masyarakat dan kekal dengan prinsip. Ada orang memang tak dilahirkan untuk menjadi seorang isteri atau ibu.
“Jadi, saya okey dengan begini sahaja. Macam kalau saya jadi isteri, saya tak boleh bawa sesetengah watak, akan jadi tidak selesa walaupun suami memahami. Semuanya akan ada sekatan. Keluarga pun sangat menyokong kerjaya saya sebab kami semua berdarah seni,” katanya.
SUMBER: Kosmo