Ketika diumumkan enam bulan lalu, ramai sangsi dengan pelaksanaan peraturan untuk melesenkan syarikat pengendali Internet seperti TikTok dan Telegram di negara ini.

Tidak kurang yang kata langkah itu akan gagal dan tidak mendapat sambutan syarikat. Ada mendakwa syarikat-syarikat itu akan angkat kaki, pindah negara lain.

KAPSYEN: WeChat dan TikTok platform media sosial pertama dianugerahkan lesen operasi di Malaysia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia

Dua hari lalu, Januari 2025 pun datang tanda peraturan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) pun bermula dan jeng… jeng… jeng… ramai tercengang bila dapat tahu dua syarikat besar TikTok dan WeChat bukan sahaja telah memohon tetapi telah diluluskan permohonan mereka.

Lebih mengujakan syarikat besar lain yang mengendalikan platform besar seperti Telegram dan Meta juga telah memohon. Permohonan Telegram di tahap akhir penilaian.

X dan YouTube pula sedang giat berbincang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk mematuhi peraturan itu.

Reaksi syarikat-syarikat besar ini bukan sahaja ‘mind blowing’ tetapi memberikan mesej jelas bahawa peraturan itu tidak ada apa yang perlu dibimbangkan sepertiditunjukkan kebanyakan pihak sebelum ini.

Prof Madya Dr Nur Izura Udzir

Seperti kata Pakar Keselamatan Maklumat, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Nur Izura Udzir reaksi positif ini menunjukkan syarikat berkenaan mahu menjadi pengendali Internet dan media sosial yang bertanggungjawab.

“Respons positif pengendali media sosial ini menunjukkan mereka tiada masalah untuk mematuhi undang-undang baharu ini.

“Ia juga jelas menunjukkan komitmen mereka untuk bersama kerajaan menjaga kepentingan pengguna, melindungi keselamatan pengguna dan mereka mahumenjadi pengendali yang lebih bertanggungjawab.”

Dr Nur Izura yakin berdasarkan respons positif syarikat besar ini ia akan mendorong syarikat pengendali lain memohon lesen.

“Sebenarnya ini adalah situasi menang-menang pengendali dan pengguna media sosial. Pengguna akan dapat persekitaran yang selamat. Syarikat pengendali pula mereka melihat langkah ini membolehkan mereka dapat beroperasi dengan seluas-luasnya di negara ini.

“Bagi pengendali media sosial dan pembangunan perisian, kepercayaan pengguna sangat penting. Jadi memiliki lesen ibaratkan satu pengiktirafan kerajaan dan komitmen syarikat.

“Keadaan ini akan menaikkan reputasi syarikat. Bila reputasi naik, pengguna juga akan lebih percaya kepada produk mereka.

“Di pihak kerajaan pula akan memudahkan urusan mengawal selia. Jadi semua pihak mendapat manfaat,”

Bukan Akta Autokratik

Perkembangan semasa ini juga menurut Dr Nur Izura bahawa peraturan ini bukan bersifat autokratik atau menekan dan bakal menyekat kebebasan.

“Kalau content yang baik, tidak memudaratkan, tidak orang nak sekat. Cakaplah sebebas-bebasnya.

“Kalau content itu menimbulkan kekacauan, merosakkan, memberi kesan negatif,membawa anasir dan budaya negatif, pornografi, penipuan dan kes jenayah memang itu yang kita nak sekat. Ini akan membawa kebaikan kepada pengguna.”

Menurut Dr Nur Izura lagi, langkah melesenkan syarikat pengendali Internet dan media sosial bukan baharu dan telah dilaksanakan di negara lain.

Malah di Australia ujarnya, negara berkenaan memberi tumpuan kepada kawalan had umur bagi melindungi pengguna baharu atau bawah had usia.

“Penangan media sosial dalam aspek mengubah tingkah laku kanak-kanak jangan dipandang mudah. Dalam kita akui teknologi ini adalah teknologi di zaman mereka tetapi kita perlu bersedia dengan mekanisme tapisan dan kawalan bagi melindungi kelompok ini.”

Dr Noor Nirwandy Mat Noordin

Sementara itu Penganalisis keselamatan dan politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, peraturan yang diperkenalkan penting dalam mendepani cabaran ekosistem media digital yang kompleks.

Memperkenalkan undang-undang berkenaan adalah langkah terkedepan kerana banyak negara luar juga mempunyai perundangan yang eksklusif terhadap pengendali media sosial mereka seperti di Kanada, Australia dan Amerika Syarikat.

Malah, ada juga negara mengambil langkah ekstrem dengan mengehadkan pemilik media sosial itu haruslah berusia 16 tahun ke atas untuk mempunyai akaun.

“Negara sememangnya perlu mempunyai satu kuasa dominan dalam memastikan platform media sosial akur dengan peraturan kerana ia bukan bertentangan dengan hak asasi.

“Ini demi menjamin keselamatan negara termasuk menjaga ketamadunan perilakusosial atau identiti negara terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata masyarakat turut berperanan dalam mengawal algoritma media sosial sebagai usaha memastikan kandungan media sosial yang lebih selamat.

×