Pendakwah bebas, PU Azman menerima keputusan dengan hati terbuka apabila diarah membela diri selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan ada prima facie dua pertuduhan amang seksual fizikal membabitkannya.
Memetik Malaysia Gazette, PU Azman berkata dia bersyukur dan reda dengan apa yang berlaku. Katanya lagi, pasti ada hikmah di atas apa yang berlaku.
BACA: “Saya Dedah Kes PU Azman Sebab Takut Kepada Azab Allah”
“Saya sangat bersyukur. Alhamdulillah atas musibah yang menimpa ini. Ada hikmah pastinya atas apa yang berlaku ini.
“Cik Man (bahasakan dirinya) terima apa yang jadi sahaja dan harapkan doa orang lain supaya dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Dalam prosiding hari ini, pendakwah itu memilih untuk meneruskan perbicaraan dengan memberi keterangan secara bersumpah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang, di sini, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari serta 29 Jun tahun lalu.