Intipati Belanjawan 2023 menggariskan beberapa inisiatif yang ditawarkan kerajaan untuk pemulihan dan manfaat komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR)  di seluruh negara.

Bagi anda yang tidak tahu, PPR adalah program kerajaan untuk penempatan semula setinggan bagi yang berkelayakan dan memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah (B40).

PPR di Machang, Kelantan

Kali ini Kerajaan lebih komited untuk meningkatkan taraf hidup dan kualiti hidup penduduk yang tinggal di PPR. Pelbagai perkara diambil kira oleh kerajaan dalam memastikan kualiti hidup penduduk masing-masing tidak ketinggalan jauh.

Bukan itu sahaja, kerajaan juga tidak mendiskriminasi dalam memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan, tidak kira di luar bandar mahupun di bandar.

Dalam melestarikan isu ini, pelbagai langkah telah diperkenalkan di bawah Belanjawan 2023 dalam menjamin kualiti hidup yang seiring dengan keadaan ekonomi, kos sara hidup dan keperluan semasa penduduk.

Penyelenggaraan Perumahan Awam Kos Rendah 

Mengambil kira penghuni PPR yang terdiri daripada golongan B40, kerajaan turut menyediakan peruntukan bagi memastikan penyelenggaran perumahan kos rendah ini dilaksanakan dengan baik agar penghuninya mendapat manfaat bersama.

Pada 24 Februari lepas, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat berkata, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan diperuntukkan RM50 juta bagi memastikan keadaan yang selamat di PPR dengan keutamaan kepada penggantian lif-lif usang.

Kumpulan Wang Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM)

Tidak terhad di situ, tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia turut ditubuhkan bagi menyediakan persekitaran yang selesa dan berkualiti kepada penghuni perumahan berstrata.

Ini juga bagi membantu pihak pengurusan (JMB/MC) menyediakan peruntukan untuk membaik pulih dan menyenggara perumahan berstrata.

Penyelenggaraan Perumahan Awam (PPP) Kos Rendah Negeri

Sebagai tanggungjawab kerajaan kepada rakyat, program Penyelenggaraan Perumahan (PPP) disediakan di bawah program pembangunan KPKT dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10). Program ini bertujuan membiayai kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan perumahan kos rendah awam berstrata/ berbilang tingkat.

Program ini didasarkan kepada geran sepadan 90:10, di mana (90%) daripada kos akan disumbang oleh pihak kerajaan dan 10% daripada kos ditanggung oleh kerajaan negeri/agensi kerajaan negeri/Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sumber Google

Demi memastikan rakyat hidup dalam persekitaran yang selesa dan nyaman, pelbagai langkah telah diambil kira oleh kerajaan dalam memajukan persekitaran yang aman damai tanpa mengira kedudukan rakyat.

Lepas ni penduduk PPR dah boleh senyum lebar lah, bila semua peruntukan ini disalurkan dengan betul dan pelaksanaannya disegerakan.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif lain di bawah Belanjawan 2023, layari laman rasmi ini .

×