fbpx

Tahniah diucapkan buat penyanyi Muna Shahirah yang sah bergelar isteri kepada Sean Tee Yeu Terng Abdullah dengan dua kali lafaz dalam majlis yang berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Mersing, Johor pada Sabtu lalu.

Memetik Harian Metro, Muna menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 dan hantaran sebanyak RM60,000. Pihak perempuan menyerahkan tujuh dulang hantaran dan dibalas lima dulang daripada pihak lelaki.

Muna meluahkan rasa syukur majlis pernikahannya berjalan lancar dan bahagia apabila sudah bergelar isteri yang sah kepada Sean.

“Alhamdulillah, saya sudah bergelar isteri kepada Sean. Pada mulanya, saya memang pelik, bila bangun pagi ada orang di sebelah. Namun, saya berasa bahagia kerana kini kami sudah bergelar suami isteri yang sah,” katanya.

Dalam pada itu, Muna mengakui dia mempunyai tanggungjawab yang besar untuk membimbing suaminya yang juga mualaf.

“Jika nak diikutkan, suami memang sudah lama meminati agama Islam dan dia sudah memeluk Islam Januari lalu. Kami memang dalam fasa yang indah kerana sama-sama belajar agama.

“Saya juga terbuka hati untuk menerimanya dalam hidup kerana dia seorang yang ‘soft spoken’ dan menenangkan,” katanya.

Mengimbas kembali perkenalan pasangan itu, Muna dan Sean berkenalan menerusi permainan video PUBG sejak tiga tahun lalu.